Paling Popular
Terkini

Menjadi sasaran kritikan kerana didakwa gagal menghentikan perobohan tiga buah rumah dan dua rumah kedai berhampiran Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Rabu lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mendakwa isu itu adalah di luar bidang kuasa kerajaan negeri.

"Suruh dia patuh undang-undang. Tanah tu tanah kerajaan persekutuan. Patutnya dialah yang buat panggilan itu," kata Azmin ketika diminta mengulas kritikan Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar, Tan Sri Noh Omar terhadap cara Azmin mengendalikan isu tersebut.

Noh pada hari Khamis mengatakan bahawa Azmin, sebagai pihak berkuasa tertinggi negeri, boleh dengan mudah menghentikan perobohan itu dengan hanya membuat satu panggilan telefon.

Pengerusi Umno Selangor itu juga menyifatkan tindakan perobohan itu menyebabkan dua keluarga kehilangan tempat tinggal sebagai "kejam" dan berkata Azmin sepatutnya memberi mereka masa untuk mencari tempat tinggal lain.

Selepas perobohan itu, Azmin mengumumkan bahawa kerajaan negeri menawarkan kepada dua keluarga tersebut tempat tinggal di PPR di Kota Damansara tanpa sewa selama enam bulan.

Kerja perobohan itu atas arahan Malaysian Airports Holdings Bhd (MAHB), dijalankan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Petaling dan Majlis Bandaraya Shah Alam. Rumah itu didiami oleh bekas jawatankuasa masjid di lapangan terbang itu.

Satu protes juga diadakan terhadap perobohan itu oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang mengakibatkan sembilan daripada anggotanya ditahan oleh polis. Mereka dibebaskan dengan jaminan polis pada hari itu.

PSM mendakwa bahawa kerajaan Selangor bertegas bahawa ia tiada berkuasa untuk campur tangan, walaupun isu itu melibatkan tanah negeri.

Sementara itu, Azmin menyerahkan lebih daripada 110 kunci rumah kepada peserta Skim Smart Sewa yang dimulakan pada tahun 2016 dengan peruntukan awal RM10 juta.

[Baca berita penuh]

 

 

 

Lihat Komen
ADS