Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP hilang waras sebelum mabuk, kata Pemuda PAS
Diterbitkan:  Oct 7, 2017 6:15 PM
Dikemaskini: 10:59 AM

Kelantangan pemimpin DAP untuk mempertahankan pesta arak di Selangor menyerlahkan sikap sebenar parti itu, kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Hishamuddin Abdul Karim.

Katanya, walaupun menyaksikan bantahan ramai, DAP tetap dengan kedegilannya untuk memprovokasi, mencabar dan memperlekeh sensitiviti awam terutamanya masyarakat Melayu dan Islam.

"Sikap DAP ini sebenarnya satu ancaman kepada masa depan keharmonian dan keutuhan negara.

"Demi sokongan golongan bebal tertentu, mereka mengangkat dan memperjuang isu ini sedangkan ia mendatangkan mudarat kepada kepentingan awam," katanya menerusi satu kenyataan.

Hishamuddin berkata, DAP hanya akur apabila ketua polis negara, mendedahkan maklumat risikan mengenai ancaman pengganas sekiranya acara berkaitan arak diteruskan.

"Ia menunjukkan betapa parti itu lebih awal hilang kewarasannya sebelum mabuk.

"Malang lagi apabila parti politik bersamanya dalam PH (Pakatan harapan) hanya membisu," katanya.

Menurut Hishamuddin, rakyat Malaysia yang matang menerima realiti bahawa minuman keras merupakan minuman bukan Islam. 

"Tetapi menjadikannya keraian dengan berpesta besar-besaran bukanlah budaya negara ini. Ia jelas diimport dari luar," katanya.

Kontroversi membabitkan festival berkaitan arak bermula apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan permit acara Better Beer Festival selepas perkara itu dibangkitkan seorang pemimpin PAS.

Pembatalan festival yang telah diadakan sejak beberapa tahun lalu menerima pelbagai reaksi dan bantahan terutamanya daripada DAP.

Susulan itu terdapat spekulasi penganjur membuat permohonan baru kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Pada masa sama, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dijangka tidak akan meluluskan permit acara makanan dan minuman (F&B) Jerman yang sepatutnya berlangsung pada 12 dan 13 Oktober.

Ini selepas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan penganjuran pesta itu ekoran wujud ancaman militan.

Exco DAP, Datuk Teng CHang Kim yang sebelum ini menegaskan acara itu akan diteruskan terpaksa akur apabila mengatakan keputusan akhir terletak di tangan MPK dan kerajaan negeri tidak akan campur tangan.

Sementara itu, seorang lagi ahli exco DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah menuntut penjelasan pihak polis mengapa penganjuran pesta "Oktoberfest" dibenarkan di Melaka, Johor dan Sarawak tetapi tidak di Selangor.

Lihat Komen
ADS