Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Menantu TPM pilih bedah gigi dengan bius seluruh badan'

Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini diberitahu Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi yang meninggal dunia ketika menerima rawatan pergigian, tahun lepas memilih untuk melakukan pembedahan gigi dengan bius seluruh badan untuk mencabut gigi yang sakit walaupun mengetahui risiko yang bakal dihadapinya.

Bekas Pembantu Pembedahan Pergigian di Pusat Pakar Pergigian Imperial Dental Specialist Centre Sdn Bhd, Noor Azima Mohd Nuwi, 26, berkata Syed Alman Zain telah pergi ke klinik itu pada 26 Mei 2016 kerana beliau mengalami kesakitan di bahagian gigi bongsunya.

Beliau berkata satu ujian x-ray iaitu OPG (Orthopantomogram) telah dibuat ke atas Syed Alman Zain bagi menentukan punca kesakitan itu dan hasil x-ray mendapati gigi bongsu mangsa perlu dicabut.

"Daripada x-ray itu, Dr Arlena Phillips Lee (yang menjalankan prosedur pembedahan ke atas Syed Alman Zain) telah memberitahu bahawa gigi bongsu beliau terpaksa dicabut dan jika tidak dicabut ia mungkin memberi kesan pada gigi lain dan mangsa akan melalui lebih kesakitan," katanya.

Beliau memberi keterangan ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Nadia Zulkefli pada perbicaraan kes pusat pakar pergigian yang didakwa berhubung kematian Syed Alman Zain ketika menerima rawatan di premis berkenaan, tahun lepas.

Noor Azima merupakan saksi pendakwaan ke-10, yang bertanggungjawab membantu doktor di dalam bilik surgeri termasuk menyiapkan peralatan surgeri di pusat pakar pergigian itu.

Janji temu diawalkan

Beliau menjelaskan menantu Timbalan Perdana Menteri itu turut bertanya apa prosedur dan langkah yang dijalankan untuk mencabut giginya dan beliau diberikan penerangan dan pilihan sama ada mahu mencabut giginya dengan suntikan ubat pelali di bahagian gusi atau pembedahan dengan bius seluruh badan iaitu pesakit tidak sedarkan diri semasa pembedahan.

Katanya bagi kedua-dua rawatan itu, pesakit perlu mengambil ubat penahan sakit iaitu 'arcoxia' dan 'ponstan' serta ubat antibiotik 'augmentin'.

"Dr Arlena terangkan jika pembedahan dengan bius (seluruh badan), klinik akan memanggil seorang pakar bius dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Dr Arlena juga beritahu kalau pembedahan dengan bius kemungkinan ada risiko pesakit itu lambat sedarkan diri. Selepas dengar penjelasan, pesakit (Syed Alman Zain) telah buat pilihan untuk jalankan pembedahan dengan bius (seluruh badan)," katanya.

Saksi itu berkata Syed Alman Zain kemudian membuat janji temu untuk menjalankan pembedahan itu pada 4 Jun 2016 namun tanpa diketahui punca, janji temu itu kemudian diawalkan kepada 1 Jun 2016.

Menjelaskan lanjut, Noor Azima yang kini bekerja di Klinik Pergigian Dentistree di Sunway Nexis berkata Syed Alman Zain telah datang ke klinik itu pada 5.30 petang, 1 Jun 2016.

Pakar bius

Katanya pada hari tersebut, selain Dr Arlena, beliau turut melihat seorang lagi doktor yang merupakan pakar bius yang dikenali sebagai Dr Ting (Dr Ting Teck Chin) berada di bilik pembedahan bersama Syed Alman Zain.

Kepada soalan Nadia adakah saksi itu mengenali Dr Ting dan bagaimana beliau mengetahui Dr Ting adalah pakar bius Syed Alman Zain, saksi itu berkata: "Sebab sebelum ini saya nampak Dr Ting jalankan bius pada pesakit. Saya pernah tanya rakan sekerja mereka beritahu Dr Ting adalah pakar bius dari HKL dan kebiasaannya yang jalankan bius di Imperial adalah Dr Ting," katanya.

Pada 12 Ogos 2016, pusat pergigian itu yang diwakili pengarah syarikatnya Dr Wong Yen Ling mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan berhubung kematian Syed Alman Zain.

Antara pertuduhan itu ialah beliau selaku orang kena saman (OKS), didakwa sebagai pemegang lesen, didapati telah gagal memastikan Dr Ting iaitu orang yang memberikan perkhidmatan anestesia terhadap Syed Alman Zain mempunyai kelayakan anestesiologi.

Klinik itu didakwa sebagai pemegang lesen telah gagal memastikan individu yang berkhidmat untuk menjalankan prosedur radiologi dan perkhidmatan anestesia secara 'IV Sedation' ke atas Syed Alman Zain mempunyai kelayakan berbuat demikian.

Klinik didakwa tujuh pertuduhan

Dakwaan lain terhadap premis tersebut ialah gagal menyediakan langkah-langkah perlu bagi menyelamatkan nyawa pesakit dengan tidak menyediakan oksigen sebagai perkhidmatan jagaan kecemasan asas serta gagal mengemukakan kepada PPUM satu salinan semua rekod perubatan Syed Alman Zain semasa dia dipindah ke sana.

Klinik berkenaan turut didakwa telah gagal menyimpan dan menyenggara suatu daftar kakitangan, memastikan kehendak pelabelan ubat dipatuhi serta tidak mengambil langkah yang cukup untuk melindungi semua kakitangan profesional jagaan kesihatan dan persekitaran terhadap bahaya biologikal.

Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di klinik yang terletak di Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, di sini, antara 6 petang dan 9.05 malam, antara 26 Mei dan 2 Jun 2016.

Tujuh pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(4), 39(2), 40(4) dan 117(2)(b)(i) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM30,000 dan RM300,000, jika sabit kesalahan.

Dua lagi pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 49(7) dan 245(6) Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Lain) 2006 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara tiga bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Peguam P. Sreekant mewakili Dr Wong bagi pihak pusat pergigian.

Perbicaraan di hadapan hakim Harmi Thamri Mohamed @ Shaharuddin bersambung esok.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS