Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tak ramai belia hadir, petanda buruk untuk HARAPAN'

Penemuan kajian baru-baru ini yang menunjukkan pembangkang gagal memanfaatkan rasa tidak puas hati belia kelihatan benar dengan kekurangan kehadiran golongan itu dalam perhimpunan antikleptokrasi Pakatan Harapan semalam.

Kira-kira dua jam sebelum perhimpunan itu berakhir malam tadi, seorang penjual baju-T sedang berkemas.

“Nak jual 25 helai pun susah macam tarik lembu,” keluh penjual baju-T itu.

“Nama saya Lee. Baba Melaka, muka macam Melayu,” katanya kepada Malaysiakini.

"Saya hanya menjual baju t bersaiz L dan XL, orang perut buncit. Ke mana anak muda?" Tanya beliau menggemakan persoalan yang disuarakan ramai pemerhati himpunan 'Sayang Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi' di Padang Timur, Petaling Jaya itu.

Malaysiakini menjangkakan sekitar 8,000 orang hadir pada acara kemuncak perhimpunan yang didominasikan oleh hadirin golongan tua dan berusia itu.

Pengundi penat

Penganalisis politik Wong Chin Huat berkata HARAPAN perlu membuktikan Barisan Nasional salah dalam hal ini dan mereka perlu meyakinkan para pengundi muda bahawa HARAPAN akan berbuat lebih lagi daripada hanya terlibat dalam tindakan bertelagah sesama sendiri.

"Para pengundi penat kerana mereka tidak berasa pemilikan bersama terhadap masa depan.

"Penat bagus untuk Barisan Nasional tetapi tidak baik untuk Pakatan Harapan," beliau memberitahu Malaysiakini.

"BN cuba meyakinkan pengundi muda bahawa kesemua ahli politik adalah sama, hanya tahu bertelagah, 'jadi kenapa kamu risau untuk mengundi?'," dakwa beliau.

Wong berkata HARAPAN perlu bekerja untuk menarik keterlibatan para pengundi sebagai rakan mereka untuk membina semula negara ini, bukannya hanya menggerakkan mereka sebagai laskar untuk merebut negara.

Pembangkang ada kerajaan di dua negeri

Manakala aktivis hak asasi manusia daripada NGO Suaram Amir Abdul Hadi (gambar tiga dari kanan) berkata sebilangan besar belia sudah tidak lagi melihat parti pembangkang sebagai alternatif yang berbaloi kepada BN.

"Pembangkang pun dah mainstream, kerajaan di dua negeri. Dah tak counter-culture.

"Dulu berbeza. Pembangkang kecil, ditindas lagi. Maka semangat perlawanannya juga berbeza," kata Amir yang menambah bahawa beliau juga pada awalnya berbelah bahagi untuk hadir ke perhimpunan tersebut.

Bagi belia yang hadir perhimpunan tersebut, Amir maklum mereka sebahagian daripada kumpulan penyokong yang digerakkan sayap pemuda BERSATU iaitu ARMADA.

Bagaimanapun menurut Amir jumlah kehadiran ke himpunan atau ceramah belum tentu akan diterjemahkan kepada undi.

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Razlan Rafii berkata belia tidak akan diperbodohkan oleh para pemimpin HARAPAN yang didakwa hanya ingin berkuasa dengan apa saja cara.

Razlan memberitahu Malaysiakini beliau percaya kehadiran yang rendah golongan belia akan diterjemahkan dengan peningkatan sokongan belia terhadap BN.

Dalam minggu menjelang perhimpunan, HARAPAN meletakkan sasaran 100,000 orang peserta, sebelum mengurangkan sasaran ke 30,000 hadirin.

Pada penghujung perhimpunan, HARAPAN mendakwa kehadiran seramai 25,000 peserta.

Sementara itu pihak polis pula menganggarkan angka kehadiran cuma sekitar 4,000 orang sahaja.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS