Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khazanah nafi jadi punca CEO MAS letak jawatan
Diterbitkan:  Oct 18, 2017 10:04 AM
Dikemaskini: 2:29 AM

Khazanah Nasional Berhad menafikan laporan New Straits Times (NST) semalam yang mendakwa peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS) Peter Bellew, ekoran campur tangan mereka dalam syarikat penerbangan negara itu.

Khazanah menyifatkan spekulasi yang ditimbulkan laporan yang memetik sumber tidak dinamakan itu sebagai "salah dan mengelirukan".

"Khazanah juga ingin menjelaskan pegawai kami tidak dihubungi oleh New Straits Times untuk memberikan komen sebelum penerbitan artikel spekulasi itu," kata syarikat pelaburan kerajaan itu menerusi kenyataan yang diterbitkan di laman rasminya.

Khazanah menjadi pemilik penuh MAS pada 2014, dalam penstrukturan semula syarikat itu selepas insiden MH370 dan MH17.

Menurut laporan NST bertajuk "Khazanah meddling led to Bellew exit?", sumber mendakwa punca Bellew, dan CEO terdahulu Christoph Mueller, meninggalkan syarikat itu kerana campur tangan Khazanah dalam urusan syarikat.

"Hakikatnya Khazanah menguruskan Malaysia Airlines secara mikro. Ada beberapa kes Khazanah melangkaui lembaga pengarah," katanya seperti dipetik.

Kata laporan itu lagi, dipercayai Bellew dan sebelum ini Mueller tidak dapat bersetuju dengan beberapa keputusan Khazanah berhubung pengendalian Malaysia Airlines.

Bellew dilantik menggantikan Cristoph Mueller yang berkhidmat bersama syarikat penerbangan Malaysia sebagai CEO pada Mei 2015 sebelum berhenti secara mengejut pada Jun 2016.

Khazanah berkata, mereka memainkan peranan seperti yang digariskan Pelan Penyusunan Semula MAS pada 2014 dan Akta Penerbangan Malaysia Berhad (Pentadbiran) 2015.

"Penstrukturan semula Malaysia Airlines mematuhi tadbir urus yang baik dan rangka yang diluluskan.

"Ahli lembaga pengarah dan pengurusan Malaysia Airlines menghantar pelan utama kepada Khazanah sebagai pemegang saham tunggal dan pemberi dana penstrukturan semula, dan secara bersama, kami bekerja dengan rapat untuk melaksanakan penstrukturan itu," katanya.

Pengumuman perletakan jawatan Bellew dibuat secara agak mengejutkan, apabila syarikat penerbangan Ireland RyanAir mengumumkan Bellew akan kembali berkhidmat di sana bermula 1 Disember ini.

MAS dalam satu kenyataan semalam berkata ia sesuatu yang di luar jangkaan, memandangkan Bellew baru sahaja menyatakan komitmennya untuk terus bersama mereka.

"Bellew berkata dia gembira berada di Malaysia dan pemulihan Malaysia Airlines akan menjadi kejayaan terbesar dalam hidupnya," kata MAS.

Lihat Komen
ADS