Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pindaan hukuman mati berdasarkan pengalaman hakim'

Peguam Negara Mohamed Apandi Ali hari ini berkata cadangan pindaan hukuman mati mandatori berkenaan Akta Dadah Berbahaya 1952 didrafkan berdasarkan pengalamannya sebagai bekas hakim.

“Pindaan ini sebenarnya datang daripada saya dan saya sudah maklumkan kepada kabinet sebelum ini. Ia berdasarkan pengalaman saya sebagai hakim Mahkamah tinggi dan hakim Mahkamah Rayuan.

“Hakim-hakim juga memaklumkan saya bahawa mereka mendapati mereka sukar untuk menjatuhkan hukuman mati apabila mereka rasa tertuduh tidak sepatutnya menerima hukuman itu,” kata Apandi dalam sidang media di Pejabat Peguam Negara di Putrajaya.

Berdasarkan kekangan di bawah akta itu ketika ini, Apandi berkata cadangan itu dibuat bagi meminda undang-undang dan memberi kuasa kepada hakim sama ada mahu menjatuhkan hukuman mati kepada pesalah yang terlibat kes dadah.

“Dalam masa sama kami juga ingin mengenal pasti siapa yang patut digantung dan siapa tidak,” katanya dan menjelaskan perbezaan antara pengedar dadah dan penyeludup dadah.

Ketika ditanya tentang perkembangan pindaan itu, Apandi berkata beliau menjangkakan draf rang undang-undang itu dibentangkan di Parlimen “dalam masa terdekat”.

Dalam jawapan balas bertulis di Dewan Rakyat. Menteri Undang-undang Azalina Othman Said mengesahkan Pejabat Peguam Negara telah menyiapkan draf pindaan pertama Akta Dadah Berbahaya dan kabinet telah dimaklumkan hal itu Julai lalu.

Azalina juga berkata Pejabat Peguam Negara sedang bekerjasama dengan kementerian dan agensi kerajaan bagi menyiapkan draf pindaan berkaitan Seksyen 39B akta sama.

Seksyen 39B menetapkan hukuman mati mandatori bagi mereka yang terlibat dalam penyeludupan dadah.

Proses pendrafan dilaporkan turut melibatkan maklum balas daripada Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kimia, polis Jabatan Imigresen.

Azalina berkata demikian sebagai jawapan balas kepada Anggota Parlimen Puchong Gobind Singh Deo yang menanyakan perkembangan perkara itu.

[Berita penuh]

Lihat Komen
ADS