Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pemuda AMANAH: Najib mahu rakyat terus susah?
Diterbitkan:  Nov 2, 2017 12:45 PM
Dikemaskini: 4:51 AM

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) kesal pembentangan Bajet 2018 langsung tidak mempunyai mekanisme bagi menstabilkan harga minyak dan tidak membebankan pengguna.

Naib Ketua Pemuda AMANAH, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengawal kenaikkan harga bahan api itu akan membuka ruang untuk kenaikan barangan keperluan lain hingga membebankan rakyat.

“Kenaikan 4 sen untuk RON95 dan RON97 tidak sampai seminggu selepas pembentangan Bajet 2018 yang diuar-uarkan sebagai 'Ibu Segala Bajet' menjelaskan bahawa bajet kleptokrasi itu langsung tidak mempunyai mekanisme utuh bagi menstabilkan harga minyak untuk kekal rendah.

“Sudahlah GST gagal dihapuskan, memang Najib mahu rakyat terus susah atau bagaimana?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Harga kesemua minyak petrol dan diesel naik 4sen bermula hari ini.

RON95 kini dijual pada harga RM2.24 seliter, RON97 pada harga RM2.54 dan diesel pula RM2.17 seliter.

Kenaikan itu adalah yang ketiga berturut-turut sejak 19 Oktober lalu. Harga terbaru RON95 dan diesel hari ini adalah yang kedua tertinggi selepas sistem harga mingguan diperkenalkan.

RON97 pula mencatat harga tertinggi sejak 30 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Shazni Munir melahirkan rasa kesal dengan tindakan Najib selaku menteri kewangan yang gagal menangani isu itu.

“Malah kegagalan perdana menteri untuk mengecilkan peruntukan di Jabatan Perdana Menteri hingga mencecah RM17.4 billion telah mengeringkan dana negara ketika wang sebanyak itu boleh dimanfaatkan untuk pengembalian subsidi dan menubuhkan Tabung Khas bagi memastikan harga minyak kekal rendah dan stabil.

“Adakah agensi-agensi di bawah jabatan beliau jauh lebih penting daripada menangani kepayahan rakyat?” soalnya.

Mekanisme penetapan harga bahan bakar mingguan mula dikuatkuasakan pada April lalu.

Ia ditetapkan berdasarkan kedudukan harga minyak mentah berdasarkan Means of Platts Singapore (Mops) serta kekukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat pada minggu terdahulu.

Dalam rancangan rasionalisasi subsidi 2014, subsidi minyak sepatutnya sudah dimansuhkan.

Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah, baru-baru ini mendedahkan ia sebenarnya masih berjalan, walaupun tidak sebanyak dahulu.

Di sebalik pendedahan itu, Najib pernah berkata bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengawal perubahan harga minyak mingguan.

 

Lihat Komen
ADS