Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tuduhan RM90j untuk PAS patut disanggah lebih awal

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya askar siber Umno wajar bertindak lebih awal membalas dakwaan Sarawak Report yang mengaitkan PAS dengan dana RM90 juta yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak.

Kata timbalan perdana menteri itu keadaan berkenaan membayangkan bagaimana berita-berita palsu "diterima baik" oleh masyarakat pada hari ini.

Berucap di konvensyen media sosial di Kuala Lumpur hari ini Ahmad Zahid berkata sesuatu berita tidak benar yang gagal disanggah segera akan membawa masalah lebih besar.

"Kalau kita tak balas segera dan hanya menjawabnya tiga atau empat bulan kemudian, tengok apa jadi apabila Datuk Ambiga (Sreenevasan) menuduh PAS menerima dana RM90 juta daripada perdana menteri dan 1MDB.

"Apabila Sarawak Report dibawa ke mahkamah di United Kingdom, sekarang Ambiga tak mahu bercakap dan mendakwa apa yang dinyatakan itu cuma dua perenggan (daripada saman berkenaan)," katanya merujuk kepada saman PAS terhadap portal yang banyak membuat pendedahan berkaitan kerajaan itu.

Beri kesan buruk

Isu PAS yang didakwa menerima dana daripada Umno pernah dibangkitkan oleh bekas naib presiden parti itu Datuk Husam Musa dalam ceramahnya pada tahun lalu.

Sarawak Report turut membuat laporan mengenainya, mendorong PAS memulakan inisiatif menyaman portal berkenaan serta pengarangnya, Clare Rewcastle Brown, di United Kingdom.

Bagaimanapun tindakan itu sebaliknya mendedahkan satu demi satu maklumat baru - yang selama ini tidak diketahui ramai - melalui dokumen yang dikemukakan kedua-dua pihak di mahkamah.

Pada 30 Okt lalu Malaysiakini melaporkan Clare memetik nama Ambiga yang juga bekas presiden Majlis Peguam Malaysia sebagai sebahagian daripada pembelaannya.

Kata Clare dia bercakap dengan Ambiga pada Julai 2016 berhubung isu 1MDB, Najib dan PAS.

Bekas peguam PAS yang kini menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) Hanipa Maidin pula berkata saman dikemukakan PAS melalui presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga membuka potensi untuk perdana menteri dipanggil memberi keterangann di mahkamah.

Allah sudah uji

Ahmad Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata isu berkenaan sepatutnya diselidik apabila ia mula-mula keluar berbanding selepas ia dibawa ke mahkamah.

"Kesan daripada persepsi yang berlaku dulu sangat destructive (memberi kesan buruk)," katanya.

Dalam keadaan itu kata Ahmad Zahid beliau yakin Biro Teknologi Maklumat Umno dan askar siber parti itu mengambil langkah proaktif untuk memastikan semua isu berkaitan dijawab segera.

Kegagalan bertindak segera menyanggah serangan lawan kata Ahmad Zahid menyaksikan Umno "tenggelam" seperti apa yang berlaku pada dua pilihan raya umum (PRU) lalu.

Namun katanya pada PRU ke-14 - yang dijangka ramai bakal diadakan pada suku pertama tahun depan - Umno dan BN akan menguasai dua pertiga Dewan Rakyat seperti yang pernah dicapai mereka sejak awal sebelum dinafikan pada 2008.

"Kerana Allah telah uji kita dua kali (dalam PRU lalu). Ujian ini (PRU ke-14) ujian terkahir kita, kalau gagal kali ini, lupakan segala-galanya," kata Ahmad Zahid.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS