Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azalina: ROS perlu ambil tindakan terhadap BERSATU
Diterbitkan:  Nov 11, 2017 9:57 PM
Dikemaskini: 2:19 PM

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) perlu mengambil tindakan serius terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang tidak mematuhi ketetapan perlembagaan parti, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Azalina Othman berkata tindakan itu wajar kerana tidak mahu mana-mana persatuan atau parti politik melakukan sesuka hati dengan membelakangkan peraturan atau perlembagaan mereka.

"Kita ada undang-undang dan peraturan, jadi kita kena ikut undang-undang dan peraturan tersebut. Setiap pertubuhan baharu didaftarkan di ROS sepatutnya faham elemen peraturan dan perlembagaan undang-undang.

"Malulah apabila sebuah parti politik yang mempunyai ramai pengikut dalam kalangan pengamal undang-undang (peguam) tidak menasihatkan tentang undang-undang penubuhan parti," kata Azalina dalam laporan media tempatan hari ini.

Laporan Bernama memetik Azalina sebagai berkata semua pihak boleh menubuhkan persatuan atau parti politik tetapi tidak mudah untuk mereka patuh dan mengikuti segala ketetapan dalam perlembagaan mereka.

Marahkan nyamuk kelambu dibakar

"Sekadar hendak mewujudkan parti politik semua orang boleh wujudkan parti politik tapi kalau benda yang mudah macam ini pun mereka tidak faham, saya tidak yakin mereka boleh memimpin dan menawarkan diri sebagai pemimpin.

"Bagi saya, kebanyakan dalam parti ini ialah mereka dalam kategori 'marahkan nyamuk kelambu dibakar'. Bila tidak dapat, dia wujudkan atau masuk parti politik baharu," kata beliau.

Laporan Bernama itu juga menyebut pada 1 November lalu, lapan bahagian BERSATU Johor mengemukakan aduan kepada ROS berhubung kegagalan pucuk pimpinan parti itu mematuhi ketetapan perlembagaan parti berkenaan.

Semalam 10 lagi bahagian BERSATU Johor membuat aduan kepada ROS berkaitan kepincangan dalam perlembagaan parti serta tindakan menangguhkan perhimpunan agung selama enam bulan lagi, lapor Bernama lagi.

Bagaimanapun Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar, bawah) dilaporkan FMT berkata parti itu berkemungkinan akan menukar nama sayap Pemuda parti itu.

“Tukar ARMADA kepada ‘fleet’ atau sesuatu seperti itu,” kata Dr Mahathir.

Manakala itu Ketua ARMADA BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan, pihaknya sudah menerima surat daripada ROS berhubung perkara itu pada 7 November lalu,  lapor Sinar Harian hari ini.

Beliau dilaporkan sedia memberi kerjasama penuh kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dalam siasatan berhubung dakwaan sayap parti itu tidak wujud.

Syed Saddiq berkata, pihaknya telah mengikut prosedur dan terus berhubung dengan ROS berkenaan isu pindaan perlembagaan serta prosedur berkait rapat dengan parti itu.

“Perkara itu mungkin terjadi disebabkan BERSATU kini sudah dianggotai lebih 57 peratus anak muda.

“Lagilah mereka gerun, dan akan cuba sedaya upaya menggertak kami. Lagi ditekan, lagi kami bangkit,” kata Syed Saddiq (gambar, bawah) dalam laporan itu.

Sebelum ini, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah memberikan amaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) boleh diharamkan jika terus menggunakan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) untuk pergerakan pemudanya.

Jabatan itu juga berkata istilah ARMADA untuk jawatankuasa Pemuda BERSATU tidak pernah diluluskan dalam perlembagaan parti serpihan Umno itu.

Justeru, katanya, tindakan menggunakan nama ARMADA adalah melanggar perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966.

Pada 9 November lalu, Malaysiakini melaporkan kenyataan Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Tariq Ismail mendakwa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengambil sikap membisu selepas menerima permintaan parti untuk menggunakan 'ARMADA' untuk sayap pemudanya.

Beliau berkata BERSATU telah menghantar pindaan perlembagaan parti, termasuk penggunaan nama ARMADA dan SRIKANDI, yang diluluskan majlis pimpinan tertinggi pada Julai lalu kepada ROS.

 

 


 

Lihat Komen
ADS