Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Sabotaj projek pusat warga emas ibarat perang terhadap rakyat'
Diterbitkan:  Nov 19, 2017 5:12 PM
Dikemaskini: 9:46 AM

Exco kerajaan Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad mengecam tindakan yang didakwa sebagai sabotaj terhadap projek pembinaan pusat kegiatan warga emas di Taman Nirwana, Ampang.

Menurut Iskandar, tindakan sabotaj itu dilakukan sehari selepas majlis pelancaran permulaan projek berkenaan.

“Pada 17 November lepas, satu Majlis Permulaan Kerja telah berlangsung untuk Pusat Kegiatan Warga Emas di Taman Nirwana, Ampang.

“Walau bagaimanapun pada 18 November kakitangan saya telah mendapati tembok batu-bata yang sedang dibina telah dipecahkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Iskandar, tapak projek tersebut adalah bekas tapak sebuah restoran yang tidak disambung lesen pendudukan sementaranya oleh kerajaan Selangor.

“Saya memandang serius tindakan sabotaj ini kerana ia merupakan pengisytiharan perang ke atas rakyat terutamanya warga emas.

“Di zaman BN, tapak tersebut telah dimanfaatkan untuk individu tetapi di bawah kerajaan negeri hari ini ia akan dimanfaatkan untuk seluruh rakyat.

“Kita tidak boleh membiarkan sesiapa sahaja menghalang kerajaan negeri menyediakan kemudahan untuk rakyat,” katanya.

Naib Presiden PAS itu turut memaklumkan bahawa terdapat bantahan terhadap pembinaan projek berkenaan.

“Saya juga diberitahu hari ini oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Tuan Haji Abdul Hamid Hussin, bahawa beliau telah menerima surat membantah pembinaan di atas tapak tersebut.

"Saya berharap pihak polis akan dapat menyiasat sama ada terdapat hubungan di antara sabotaj dan (surat) bantahan ini," katanya.

Iskandar menjelaskan pembinaan pusat itu adalah melalui peruntukan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan anak-anak syarikat kerajaan negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Sehubungan itu, Pusat Khidmat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka menawarkan RM1,000 kepada sesiapa yang memberi maklumat berkenaan pihak yang bertanggungjawab.

Pusat Khidmat boleh dihubungi di talian 03 9201 4411 pada waktu pejabat.

Pusat kegiatan warga emas itu dijangka akan dilengkapi dengan gelanggang refleksologi, mesin senaman dan wakaf-wakaf.

Lihat Komen
ADS