Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perak peruntuk bajet besar, RM1.17 bilion untuk 2018

DUN | Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hari ini membentangkan Bajet Perak 2018 berjumlah RM1.17 bilion dengan lima fokus utama bagi memastikan pembangunan dan pengupayaan ekonomi rakyat terus dilaksana.

Bertemakan ‘Rakyat Aman dan Jaya’, Bajet 2018 memfokuskan kepada memacu pembangunan dan ekonomi negeri; memakmurkan dan mensejahterakan rakyat; melahirkan masyarakat berilmu dan generasi cemerlang; mengupayakan sara diri rakyat; memulihara kelestarian sumber dan khazanah negeri.

Zambry berkata daripada keseluruhan bajet itu, sebanyak RM 755.59 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus manakala RM421.28 juta bagi perbelanjaan pembangunan.

Katanya bagi tempoh tujuh tahun berturut-turut, kerajaan negeri berjaya mengekalkan prestasi lebihan dan ini membuktikan pengurusan kewangan dilaksanakan dengan penuh berhemah, cekap dan efisien.

“Ini termasuklah pencapaian perbelanjaan pembangunan yang sentiasa melebihi 90 peratus. Malah, Mesyuarat Majlis Kewangan Negara turut memberi beberapa pengiktirafan kepada Perak yang merupakan antara pembayar hutang terbaik dan tidak pernah memohon geran kekurangan belanja mengurus dalam tempoh tersebut,” katanya pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Dalam usaha memastikan pembangunan infrastruktur berjalan lancar, kerajaan negeri memperuntukkan RM36.5 juta pada tahun depan berbanding RM31.1 juta tahun ini, melibatkan antaranya pembinaan jalan dan jambatan baharu.

Zambry berkata bagi warga tua dan anak-anak yatim, sebanyak RM32.04 juta diperuntukkan iaitu meningkat 6.6 peratus berbanding Bajet 2017.

“Daripada jumlah itu RM30.89 juta untuk bantuan am kebajikan yang akan menyaksikan kenaikan bantuan daripada RM250 kepada RM300 hingga RM450 berdasarkan keperluan dan insiden isi rumah.

“Sebanyak RM1 juta bantuan kepada pusat jagaan anak-anak yatim dan RM0.15 juta kepada pusat jagaan warga tua yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Selain itu, Zambry berkata melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, kerajaan negeri turut melaksanakan program peningkatan sara diri dan bantuan kos sara hidup melalui dividen ladang rakyat.

“Bagi tahun 2018, seramai 4,190 orang akan menerima dividen yang keseluruhannya berjumlah hampir RM13 juta. Alhamdulillah sejak 2013, program ini telah memberikan dividen sebanyak kira-kira RM36 juta kepada golongan rakyat termiskin, ibu tunggal dan golongan yang berpendapatan rendah,” katanya.

Penganjuran Sukma dengan motto ‘Wow Kita Hebat’

Untuk Orang Asli pula sebanyak RM2.4 juta diperuntukkan dengan RM1.9 juta bagi program pengupayan dan baki untuk program kecemerlangan murid Orang Asli.

Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM20.77 juta bagi pembangunan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) dengan tumpuan kepada meningkatkan aspek keselamatan bangunan bagi mengelak tragedi yang tidak diingini berlaku, katanya menambah RM25.2 juta diperuntukkan sebagai perbelanjaan pengurusan SMTDR dan tiga buah sekolah menengah agama negeri.

Zambry berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM6 juta bagi pengurusan kelestarian pelbagai sumber hutan serta pembangunan infrastruktur sokongan, manakala peruntukan Rancangan Tebatan Banjir dan Saliran dinaikkan daripada RM6.4 juta tahun ini kepada RM8.95 juta tahun depan.

“Sebanyak RM11.05 juta juga diperuntukkan kepada pengurusan dan pemuliharaan sungai selain menaik taraf infrastruktur pengairan, saliran dan kerja-kerja penguatkuasaan yang berkaitan,” katanya.

Bagi menyemarakkan pembangunan sukan, Zambry berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM14.75 juta dengan RM10 juta untuk penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) ke-19, Sukan Pelancongan (RM2.5 juta), Sukan Massa (RM1.75 juta); Sukan Orang Kelainan Upaya (RM0.5 juta).

“Harapan saya Perak akan menjadi hos terbaik dalam penganjuran Sukma ke-19 dengan motto ‘Wow Kita Hebat’ dan saya berharap semua atlet bakal beraksi memberikan kilauan emas dan negeri Perak dinobatkan juara,” katanya.

Persidangan Dewan Undangan Negeri bersambung esok.

 

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS