Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pembangkang membidas penyelaras pasukan petugas khas pelaksanaan MyDaftar, badan yang bertanggungjawab menyelesaikan masalah kerakyatan terutama kaum India, Datuk N Siva Subramaniam kerana membela kerajaan dalam isu itu.

Ia selepas Siva berkata kerajaan sememangnya ikhlas untuk menyelesaikan isu kerakyatan kaum India, tetapi pihak-pihak yang ditugaskan untuk tujuan itu 'tidak mengerti'.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini yang disiarkan semalam, Siva juga mengkritik pembangkang kerana hanya tahu mengkritik kerajaan dalam soal itu, walhal boleh memainkan peranan aktif bagi menyelesaikannya.

"Dia adalah pembela (BN) yang tiada tolok bandingnya," kata Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy.

"Punca mengapa masalah kerakyatan masyarakat India tidak dapat diselesaikan adalah kerana kerajaan BN tiada tekad politik untuk menanganinya.

"Mengapa salahkan mereka yang ditugaskan untuk melakukannya, apabila permohonan dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), ia tersekat di sana?" soal Ramasamy.

Ramasamy memulakan pasukan petugas khas peringkat Pulau Pinang bagi menangani masalah itu pada 2013.

Beliau berkata telah menghantar 600 permohonan kepada JPN tetapi mereka yang berjaya mendapat kewarganegaraan jauh lebih sedikit.

"Setakat ini hanya 50 kes yang berjaya, maka ini masalah siapa? Jelas masalahnya pada JPM," katanya.

Beliau menyifatkan MyDaftar hanyalah program yang ditubuhkan untuk menunjukkan kerajaan menangani isu itu tetapi sebenarnya tidak serius dalam melakukannya.

MyDaftar ditubuhkan pada 2011 untuk membantu menyelesaikan masalah masyarakat India yang tidak mendapat pengiktirafan sebagai warganegara.

Pada bulan lalu, Najib menyifatkan dakwaan pembangkang yang sejumlah 300,000 kaum India di negara ini yang tidak memiliki taraf warganegara sebagai penipuan kerana hanya ada 2,500 permohonan untuk mendapatkannya.

Ramasamy bertegas terdapat 300,000 rakyat di negara ini yang tiada taraf warganegara.

"Buktikan saya salah. Bolehkah anda beritahu jumlah yang sebenar?" katanya lagi.
 

Lihat Komen
ADS