Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ummi: Cakap berdegar hapus rasuah tapi keluarga sendiri...
Diterbitkan:  Dec 2, 2017 12:22 PM
Dikemaskini: 4:41 AM

Adik perempuan Menteri Besar Selangor, Ummi Hafilda Ali menempelak kepimpinan abangnya dengan menyifatkan hanya "berdegar-degar" mahu menghapuskan rasuah namun kini dakwaan itu terpalit kepada keluarga sendiri.

Ummi berkata demikian selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan anak saudaranya bagi membantu siasatan kes perlombongan pasir di Selangor.

“Siapalah saya hendak menghalalkan cara dan sebab itu saya menentang PKR dari dulu lagi hingga kini sebab saya tahu siapa ketua lanun mereka.

"Cakap berdegar-degar nak hapuskan rasuah tapi diri sendiri, keluarga dan kroni penuh taik, sama saja dengan yang ada laa ni.

"Sebab itu saya isytihar keluar Umno dan menyatakan terbuka ketidakpuasan hati saya ke atas kepimpinan perdana menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan yang lain.

"Bagi saya 2x5, gebang saja cakap tak serupa bikin,” kata Ummi dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.

Saksi utama dalam kes perbicaraan liwat I membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata beliau tidak akan bersubahat dengan perkara mungkar walaupun melibatkan anggota keluarganya sendiri.

“Bagi saya mudah, berani buat berani tanggung. Saya tidak akan bersubahat ke atas perkara yang mungkar walaupun melibatkan anak saudara dan abang sendiri,” katanya.

Tak ingat pesan arwah abah?

Ummi Hafilda turut mengingatkan abangnya yang juga Timbalan Presiden PKR agar ingat pesan arwah bapanya.

"Arwah abah dah pesan apa Min, ingat tak? Bila kita ditimpa bala dan musibah walaupun sebesar zarah terhiris jari dengan pisau atau berdarah terhantuk kaki cuba tanya pada diri apakah dosa yang aku dah buat?

"Jangan menuding jari salahkan orang lain. Itu adalah kifarah penghapus dosa.

"Biarpun kita berhadapan dengan jerung besar yang salah guna kuasa atau jutaan penyokongnya yang akan memaki hamun kita dengan segala cerca dan nista tidak apa.

"Allah tahu yang terbaik. Itu baja pahala dalam hidup kita. Yang hak tetap hak, yang batil pasti hancur," kata Ummi.

SPRM pada 29 November lalu menahan anak saudara Azmin dan tiga lagi individu atas dakwaan terlibat dalam perlombongan pasir dan batu secara haram di Selangor.

Ketiga-tiganya direman selama tujuh hari sehingga 6 Disember untuk membantu siasatan.

Bagaimanapun Azmin menafikan tuduhan beliau menganugerahkan tender kepada anak saudaranya.

Beliau sebaliknya menjelaskan semua tender untuk perlombongan pasir di negeri itu dikendalikan oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) yang merupakan anak syarikat milik penuh Menteri Besar Diperbadankan (MBI Inc).

"Saya tidak terlibat dalam sebarang keputusan dan saya yakin pegawai Semester mempunyai integriti tinggi dalam memastikan proses itu berjalan dengan telus dan terbuka,"kata Azmin.

Lihat Komen
ADS