Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemandu Grab dakwa diserang atlet wanita
Diterbitkan:  Dec 2, 2017 5:55 PM
Dikemaskini: 10:33 AM

Seorang pemandu perkhidmatan perkongsian kereta (e-hailing) Grab mendakwa seorang atlet wanita kebangsaan menyerang dirinya di Subang Jaya semalam.

Wayne Chow Wai Loon mendakwa atlet itu menumbuk mukanya di bahagian kiri mata selepas beliau dilaporkan tersilap tempat ketika menurunkan penumpangnya di jalan yang sama.

Menulis di Facebook, Chow berkata kejadian itu bermula apabila beliau mengambil atlet itu berserta ibunya di Sunway Pyramid.

Beliau mendakwa wanita terbabit memukul bahagian belakang keretanya menyebabkan ia kemik selepas beliau gagal melihat mereka.

Apabila wanita itu bercakap dengannya, dia diberitahu yang dirinya 'seorang pemandu yang biadap'.

Campak duit tambang

Bagaimanapun, dia meminta maaf selepas wanita itu mengancam membuat laporan polis terhadapnya.

Keadaan itu kemudiannya dilaporkan menjadi panas kembali ketika Chow menurunkan penumpangnya di Subang Jaya tetapi tersalah alamat rumah.

"Saya memberhentikan kenderaan di rumah bernombor 58 -sepatutnya rumah mereka di nombor 56 - kerana saya tidak pasti yang mana satu rumah mereka disebabkan mereka tidak memberitahu saya," katanya.

Dia berkata wanita itu memarahinya dan setelah itu, anak perempuannya mencampakkan RM10 kepadanya untuk membayar harga perjalanan sebanyak RM8.

'Ambil gambar, tumbuk muka'

Dilaporkan setelah itu, wanita itu keluar dari kereta dan mengambil gambarnya menggunakan telefon bimbit.

Chow berkata dia membalas secara baik tetapi pada ketika itu serangan pun bermula.

"Tiba-tiba anak perempuan wanita itu menumbuk muka saya di bahagian mata sebelah kiri," dakwanya.

Akhbar Oriental Daily memetik sumber polis berkata atlet tersebut seorang ahli pasukan futsal kebangsaan.

Sebuah laman Facebook di bawah nama atlet tersebut telah mengepos permohonan maaf bertulis tangan kepada Chow berkata ia hanya 'salah faham antara kedua belah pihak'.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan akaun ini milik atlet itu.

Ketua polis daerah Subang Jaya Muhammad Azlin Sadari berkata kedua pihak telah membuat laporan polis mengenai perkara ini.

Bagaimanapun, beliau berkata polis tidak akan membuat siasatan.

"Ia cuma salah faham dan ketegangan itu tidak berniat menyebabkan kecederaan.

"Pemandu itu mahu mengambil gambar penumbang terbabit dan dihalang menyebabkan mata pemandu itu terkena pukulan," kata Mohammad Azlim dalam sebuah kenyataan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS