ADUN DAP diarah keluar sidang DUN Johor
DUN JOHOR | Tan Hong Pin (DAP-Mengkibol) diarahkan keluar dari sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor tengah hari tadi selepas berulang kali melanggar arahan speaker untuk duduk.
Ketika perbahasan peringkat jawatankuasa peruntukan pembangunan negeri, Tan berdiri dan mendesak Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berhubung peruntukan untuk projek bekalan air.
Namun, Khaled berkata beliau tidak akan menjawab soalan itu kerana telah memberi penjelasan sebelum ini.
Speaker Tan Sri Mohamad Aziz bersetuju dengan Khaled dan mengarahkan Tan agar diiringi keluar daripada dewan.
"Jawapan sudah diberikan tetapi Yang Berhormat tidak mahu terima," kata Mohamad.
Ketika dihubungi kemudian, Tan berkata beliau mahu mendapatkan penjelasan berhubung jumlah RM15 juta yang diperuntukkan untuk semua projek bekalan air di Johor pada 2018.
Tan antaranya mendakwa jumlah itu hanya cukup untuk mendanai satu projek, yang telah diumumkan Khaled tahun lalu - iaitu projek membina paip penghubung bagi memindahkan air dari Kahang ke Sembrong Timur.
"Jadi saya hanya mahu penjelasan di mana wang tersebut datang."
Beliau juga mendakwa timbul kekeliruan dalam status projek pemindahan air, memandangkan kerajaan pusat telah mengumumkan pembatalannya.
Pada masa sama, beliau mengakui telah membangkitkan soalan sama minggu lalu tetapi tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan.

