Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PAU2017 | Rizalman Mohktar memang bukan selebriti tetapi hari ini dia mempunyai sedikit persamaan dengan Datuk Sheila Majid dan Fathia Latiff.

Wakil dari Umno Bandar Tun Razak itu menyuarakan rasa bimbangnya kepada kenaikan kos sara hidup.

Ketika ada pemimpin atasan Umno beranggapan kenyataan atau pandangan orang ramai mengenai kesukaran menghadapi isu berkenaan, atau pegawai kerajaan menganggap berlaku salah faham Rizalman berkata, kenaikan itu seolah-olah tidak dapat dikawal.

"Ia seumpama menjadi time bomb (bom jangka) kepada kita.

"Ia boleh meletup pada bila-bila masa kalau kita tak tangani dengan baik," katanya.

Untuk membayangkan perkongsian perasaan - atau kebimbangan - sama ucapan Rizalman itu berkali-kali mendapat tepukan atau sorakan perwakilan dalam Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra itu.

Perhimpunan Agung Umno bersidang untuk hari kedua hari ini selepas dirasmikan presidennya, Datuk Seri Najib Razak, semalam.

Sebelum ini beberapa artis menyatakan kebimbangan dan keresahan akibat pelbagai isu semasa sekitar negara, termasuk peningkatan harga barang dan kenaikan harga minyak.

"Makanan mahal, nilai ringgit lemah, kos sara hidup tinggi dan pekerjaan pula kurang.

"Rakyat Malaysia sudah bosan dan marah kerana diperah akibat hutang yang bukan berpunca daripada kami," kata Sheila tanpa merujuk mana-mana pihak.

Poket sendiri tak ada wang

Kenyataan itu mendapat respon daripada pelbagai pihak termasuk kalangan pemimpin Umno.

Di pihak artis pula umumnya golongan terbabit menegaskan sesuatu kenyataan dibuat itu bukan bermakna mereka menyokong pembangkang.

Sebaliknya sebagai artis kelompok itu turut berhak bersuara secara bebas dan tidak sepatutnya diserang.

Kata Rizalman kesempitan itu turut dirasai anggota Umno namun atas dasar mentaati pemimpin mereka terus mempertahankan parti.

"Kita dalam dewan ini pun kita rasa sakit, terkesan dan terhimpit, tetapi atas prinsip walak kita diam kita terus pertahankan parti," katanya.

Menurut Rizalman dia perlu berkata benar walaupun pahit.

Katanya rakyat bakal melahirkan kemarahan mereka dengan isu kos sara hidup di peti undi tidak lama lagi.

"Orang Umno pun beli barang sama harga di luar. Kita buat program bantuan kepada rakyat. Wanita, Pemuda, Puteri Umno - kita beri bantuan kepada rakyat.

"Pada masa sama kita pun menangis (sebab dalam) poket kita pun tak ada (duit).

"Kita buat kupon (bantuan) atau pun program pergi pasar setiap bulan dengan beri baucer kepada ibu-ibu yang nak pergi pasar.

"Tapi masa yang sama, dekat dapur rumah dia (penyokong Umno) belum apa-apa pun untuk dimasak.

"Kita buat program beri minyak percuma kepada anak muda, dalam masa sama ahli Pemuda Umno sendiri isi minyak pun tak mampu," katanya.

Setiap kali Rizalman menghabiskan ayatnya, kata-kata itu disambut sorakan "Ya!" daripada perwakilan dan pemerhati.

Namun Rizalman menegaskan mereka bertindak begitu kerana ikhlas mempertahankan presiden dan sayang kepada Umno.

"Adakah kita dibayar untuk mempertahankan presiden institusi parti? Adakah kita diberi dedak untuk melaksanakan perkara ini?

"Kita laksana perkara ini kerana kita sayang kepada parti. Kita sayang presiden dan kerajaan," katanya.

Lihat Komen
ADS