Milosuam bebas, ikrar lawan tetap lawan
Penulis blog Milosuam hari ini dibebaskan daripada tahanan polis selepas ditahan reman selama lima hari.
Dia ditahan pihak berkuasa pada 8 Dis lalu kerana disyaki memuatkan naik gambar dokumen berupa kenyataan saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Melalui rakaman video dikongsi di media sosial bloger terbabit - atau nama sebenarnya Yusuf Al-Siddique Suratman - berkata penahanan berkenaan tidak akan menjejaskan semangatnya.
"Saya berasakan penahanan ini satu kezaliman dan penganiayaan terhadap diri saya," katanya.
Dia turut menegaskan pengalaman direman itu akan menjadikan dia lebih bersemangat untuk meneruskan apa yang dilakukannya sebelum ini.
"Ia tidak akan sama sekali melunturkan semangat saya untuk terus berjuang, sebaliknya menjadi pencetus semangat saya untuk lebih kuat lagi. Lawan tetap lawan," katanya.

Dalam pesanan itu bloger terbabit juga mengucapkan terima kasih kepada peguam, anggota parlimen dan rakan-rakan yang membantu serta memberi sokongan sepanjang tempoh dia ditahan.
Yusuf ditahan sekumpulan anggota polis dari Bukit Aman pada 8 Dis lalu untuk disiasat berhubung kebocoran salinan kenyataan saksi SPRM.
Dia ditangkap di rumahnya di Melaka.
MB Johor nafi keras
Isteri Yusuf diberitahu polis bloger terbabit disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan.
Secara kebetulan, pada hari sama polis Johor mengambil keterangan Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Senai, Johor, Wong Shu Qi berhubung ucapannya baru-baru ini.
Ucapan itu disampaikan di DUN Johor pada 28 November.
Wong mendesak Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi penjelasan berhubung tuduhan rasuah yang disebut dalam kenyataan saksi SPRM yang telah disiarkan di internet.

SPRM kemudian mengesahkan kebocoran dokumen berkenaan dan membuat laporan polis mengenainya.
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd mengesahkan pihaknya telah menerima tiga laporan berhubung perkara itu.
Beliau juga menyatakan kes berkenaan disiasat Bukit Aman.
Dokumen tersebut adalah keterangan berkaitan kes penukaran status hartanah melibatkan bekas exco Johor, Datuk Abdul Latif Bandi, yang dihadapkan dengan 33 pertuduhan rasuah melibatkan RM30.3 juta awal tahun ini.
Khalid pada masa sama menafikan terbabit dalam sebarang salah laku atau penyelewengan. Beliau mendakwa tuduhan yang dikaitkan dengannya itu adalah fitnah.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tak berasas tersebut. Ia adalah fitnah, tidak benar dan tidak bersangkutan dengan saya.
"Pentadbiran saya tidak menerima apa-apa suapan, tidak akan menerima apa-apa suapan dan akan menentang segala usaha untuk memberi apa jua bentuk suapan kepada saya dan pentadbiran saya," katanya di DUN Johor pada 4 Dis lalu.

