Wanda sangkal mahu jadi pemaju induk Bandar Malaysia
Konglomerat China, Kumpulan Dalian Wanda Group menafikan menghadapi masalah kewangan dan memaklumkan mereka tidak pernah terbabit dalam rundingan harga untuk menjadi pemaju induk projek Bandar Malaysia.
Kumpulan berpangkalan di Beijing dalam satu kenyataan di laman webnya semalam memaklumkan bahawa mereka mempunyai berbilion-bilion dalam akaun tunai dan menafikan pernah secara formal membida projek berkenaan.
"Wang tunai Wanda kini melebihi RMB 200 bilion, (RM123.4 bilion) dan pendapatannya pada 2017 dijangka melepasi RMB 200 bilion (RM123.4 bilion) juga. Semua perniagaannya beroperasi secara normal di seluruh dunia tanpa sebarang ingkar hutang.
"Mengenai projek Bandar Malaysia, Wanda mengambil bahagian dalam rundingan pelaburan berikutan syor daripada pihak berkuasa berkaitan menerusi kerajaan China.
"Wanda hanya menghantar satu pasukan untuk memeriksa tapak projek pada Mac lalu tanpa menjalankan sebarang rundingan harga, jadi tidak ada alasan untuk melaporkan bahawa tawaran Wanda adalah dua kali ganda daripada yang lain," kata pemaju hartanah terbesar dunia itu.
Menurut Bloomberg, kenyataan itu sebagai tindak balas kepada posting oleh blogger "ibaoyouqu" di laman WeChat yang mendakwa kerajaan China telah bertindak ke atas Wanda selepas firma berkenaan menawarkan harga dua kali yang ditawarkan oleh firma milik negara China untuk Bandar Malaysia.
Posting itu bertajuk "Wang Jianlin's Waterloo" merujuk kepada pengasas jutawan Wanda, Wang Jianlin (foto, bawah, kanan). Wanda telah melaporkan blog itu kepada polis China.
Sebelum ini, adalah dilaporkan tujuh syarikat China yang dikawal kerajaan negara itu telah mengemukakan cadangan untuk menjadi pemaju induk Bandar Malaysia.
Pada Mei lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata di Beijing bahawa Wanda mampu "melakukan keajaiban" untuk pembangunan berkenaan meskipun tiada perjanjian dimeterai.
Bagaimanapun, laporan Reuters yang memetik sumber pada Julai lalu membuat spekulasi bahawa pengawal selia China telah memberitahu bank-bank untuk menghentikan pembiayaan beberapa projek Wanda di luar negara untuk mengekang pelaburan luar pesisir konglomerat itu.
Bandar Malaysia dimiliki oleh syarikat dana pelaburan 1MDB.
Sebelum ini, pada Disember 2015, projek berkenaan dianugerahkan kepada China Railway Engineering Corp (CREC) dan Iskandar Waterfront Holdings (IWH) pada harga RM7.4 bilion.
Namun perjanjian itu tidak menjadi kenyataan apabila pada Mei lalu diumumkan bahawa konsortium tersebut gagal memenuhi syarat-syarat utama urus niaga.
Sehingga hari ini, Bandar Malaysia masih belum mempunyai pemaju induk.

