Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Nak MB pakai tuala, berus gigi di telinga, pilihlah dia'

Menteri Besar Selangor Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengalukan-alukan hasrat Datuk Seri Jamal Md Yunos bertanding di DUN Bukit Antarabangsa pada pilihan raya umum akan datang.

Meskipun tidak menyebut nama, Azmin jelas merujuk kepada ketua bahagaian Umno Sungai Besar itu yang sebelum ini mengumumkan hasrat berkenaan.

“Maka datanglah seorang pemuda yang pakai tuala nak lawan saya di Bukit Antarabangsa. Silakan.

"Kalau tuan, puan dari Bukit Antarabangsa inginkan menteri besar yang pakai tuala, pilihlah dia.

“Kalau tuan, puan nak menteri besar yang pakai tuala dan berus gigi di telinga, pilihlah dia.

“Tetapi kalau tuan-tuan nak seorang wakil rakyat yang bekerja kuat dan mempertahankan maruah dan mengangkat darjat rakyat negeri Selangor, maka pertahankan kerajaan negeri Selangor yang ada pada hari ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa di Shah Alam, hari ini.

Jamal sebelum ini mengumumkan akan bertanding mencabar Azmin pada PRU14 dan perkara itu juga telah disampaikan kepada pengerusi Umno Selangor Tan Sri Noh Omar.

Pemimpin gerakan Baju Merah itu kerap mencuri tumpuan dengan menganjurkan siri bantahan terhadap kerajaan negeri menerusi pelbagai aksi dan gimik.

Antaranya membawa keranda, katil dan memakai tuala mandi ketika berdemonstrasi di hadapan bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam.

Dibuli walaupun penyumbang terbesar KDNK

Dalam pada itu, Azmin berkata Selangor sering kali menjadi mangsa buli kerajaan Persekutuan walaupun menjadi penyumbang terbesar ekonomi negara menerusi Keluaran Dalam negara Kasar (KDNK).

“Di Selangor kita bukan saja menjadi negeri maju dan industri, ramai pelabur asing datang melabur di Selangor malah jabatan statistik mengumumkan yang terbaru Selangor sekali lagi muncul negeri yang paling maju di Malaysia.

“Kita penyumbang terbesar kepada KDNK negara. Tetapi apabila kita penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia, kerajaan Persekutuan masih lagi membuli kita,” kata Azmin

Timbalan presiden PKR itu berkata beliau kesal dengan tindakan kerajaan pusat memberi gambaran sangat buruk kepada Selangor.

“Sehingga hari ini kita dianak tirikan malah diserang setiap hari, setiap malam. Kalau buka TV pukul 8 malam itu memang Selangorlah jadi sasaran.

“Seolah-olah tak ada negeri lain dalam Malaysia, negeri Selangor yang paling kotor, banyak sampah, banyak nyamuk, paling banyak jalan berlubang, paling rosak, semua Selangor,” keluh Azmin.

Lihat Komen
ADS