Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi pun boleh ceramah di P Pinang selagi tak fitnah - Wan Ji
Diterbitkan:  Dec 16, 2017 11:50 PM
Dikemaskini: 4:16 PM

Pegawai Penerangan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Wan Ji Wan Hussin hari ini mendakwa Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat dakwaan palsu berkenaan Pulau Pinang.

Wan Ji berkata demikian sebagai merujuk kenyataan presiden PAS itu dalam satu wawancara Berita Harian yang bertajuk 'Derita Bawah Naungan DAP' yang disifatkan sebagai dakwaan palsu dan berbohong.

“Dalam akhbar Berita Harian hari ini, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ada membuat dakwaan palsu terhadap suasana rakyat di Pulau Pinang.

“Ketika rakyat Pulau Pinang sedang menerima bantuan banjir dari kerajaan negeri sebanyak RM700, kenyataan presiden PAS itu membuktikan dakwaan bahawa rakyat Pulau Pinang sedang keperitan adalah amat jelas bahawa beliau sedang berbohong.

Menurut Wan Ji, Pulau Pinang adalah antara negeri yang tidak pernah menghalang ceramah agama di masjid dan surau dan malah akan membenarkan presiden PAS itu sendiri berceramah selama tidak memfitnah.

“Cuma, sikap yang ditetapkan oleh pihak kerajaan agar sebarang ceramah tersebut tidak membawa sebarang elemen permusuhan, fitnah dan merosakkan Imej Islam seperti perkauman,” katanya.

Ceramah ustaz PAS

Jelas Wan ji Pulau Pinang tidak seperti negeri tertentu di Malaysia yang menyenaraikan penceramah agama tertentu untuk berdakwah di Pulau Pinang.

“Sebarang guru dari aliran Asya'irah juga dibenarkan seperti ustaz Shahul Hamid yang sejak sekian lama berdakwah di Pulau Pinang.

“Malahan, di kebanyakan masjid dan surau di Pulau Pinang masih banyak ceramah ustaz-ustaz PAS, walaupun kadangkala ucapan mereka penuh dengan fitnah dan dakwaan palsu terhadap kerajaan Pulau Pinang,” katanya.

Untuk rekod, Shahul Hamid merupakan pendakwah kontroversi yang tular di media sosial melalui klip video ceramahnya yang memberi amaran agar wanita Muslim tidak mengunjungi salon rambut bukan Muslim dan mendakwa haram bagi ibu bapa Muslim menghantar anak-anak mereka ke sekolah aliran Cina.

Abdul Hadi sebelum ini dalam wawancara berkenaan menggesa agar rakyat menolak DAP yang gagal menjadi kerajaan bersih dan menolak pemimpinnya yang bercita-cita menjadi perdana menteri kerana mereka bukan Muslim.

Veteran DAP Lim Kit Siang membalas kenyataan itu dengan menafikan beliau berhasrat menjadi perdana menteri serta menyifatkan kenyataan Hadi sebagai mengulangi ucapan pemimpin Umno di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

Sementara itu, Wan Ji menambah sekiranya Hadi tidak terpengaruh dengan propaganda BN, beliau akan mengakui perkembangan Islam di Pulau Pinang jauh lebih baik berbanding banyak negeri lain di Malaysia.

“Baru-baru ini, kerajaan menganugerahkan lebih 10 orang tokoh pendakwah sebagai tokoh Ma'al Hijrah sebagai teladan dakwah di semua negeri-negeri di Malaysia.

“Ajaibnya, presiden PAS tidak pula menyerang MCA yang apabila kerajaan negeri menaikkan bajet untuk hal ehwal Islam, pihak MCA selalu menuduh kerajaan negeri dengan pelbagai tuduhan seperti anti-Cina.

“Saya kira, Presiden PAS dalam membuat kenyataan, bahawa beliau bukan sekadar perlu memikirkan tidak membuat tuduhan jahat dan dusta berkenaan kerajaan, malahan perlu berfikir bagaimana dia mahu menjawab hadapan Allah atas dakwaan palsu beliau itu di akhirat nanti,” katanya.

Lihat Komen
ADS