Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IMAMS batal bukan kerana ada pegawai bukan Islam, kata menteri

Keputusan kerajaan membatalkan serta-merta sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) bukan disebabkan ada pegawai eksekutif bukan Islam dalam syarikat yang dilantik untuk melaksanakannya, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz.

"Tidak, tiada kaitan," kata Nazri menerusi mesej teks kepada Malaysiakini.

"Saya memutuskan untuk membatalkannya kerana tidak setuju dengan (jumlah caj) RM90 dan ia diumumkan sebagai wajib. Itu sahaja," katanya ketika ditanya sama ada keputusan itu ekoran isu orang bukan Islam sebagai ketua pegawai operasi Imams Sdn Bhd, seperti dibangkitkan sesetengah pihak.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin semalam berkata beliau hanya diberitahu tentang perkara itu selepas mengadakan sidang media mengumumkan IMAMS, Jumaat lalu.

Mas Ermieyati berkata, ia tidak sepatutnya berlaku dan telah menghubungi Nazri selepas mengesahkan perkara itu.

Di bawah sistem itu, individu yang ingin menunaikan ibadah umrah dikenakan caj berjumlah RM90.10, iaitu RM45 untuk caj penggunaan IMAMS, RM40 untuk insurans takaful umrah dan RM5.10 untuk GST.

Sistem yang bertujuan menangani penipuan pakej umrah itu diwajibkan dalam proses permohonan visa umrah dan 65 agensi pelancongan berstatus muassasah yang mempunyai Lesen Khas Umrah (LKU) diwajibkan menggunakannya.

Nazri berkata lagi, keputusan pembatalan juga kerana ia berbeza dengan apa yang dibincangkan di peringkat Kabinet.

"Apa yang diumumkan kepada orang ramai bukan seperti apa yang kami bincang dalam Kabinet dan jelaskan di perbahasan peringkat jawatankuasa bajet kementerian di Parlimen.

"Caj yang dipersetujui adalah RM40, termasuk insurans, dan hanya pilihan (bukan wajib). Ia bukan program kementerian tetapi inisiatif sektor swasta, maka tak boleh diwajibkan," katanya lagi.

Berikutan pembatalan itu, Mas Ermieyati semalam berkata kerajaan akan mengeluarkan mekanisme baru yang lebih cekap dan "100 peratus dikendalikan Muslim" untuk menangani penipuan pakej umrah.

 

Lihat Komen
ADS