Kumpulan hak warga asing usul undang-undang baru lindungi pembantu rumah
Meskipun ada banyak peruntukan undang-undang yang melindungi hak-hak pekerja di Malaysia, kumpulan hak warga asing Tenaganita dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendrafkan undang-undang baru yang bertujuan memperkenalkan perlindungan lebih baik kepada pembantu rumah.
Pada sidang media hari ini yang diadakan sempena Hari Warga Asing Sedunia 2017 di pejabat di Petaling Jaya, Pengarah Tenaganita Glorene A Das berkata draf rang undang-undang itu dijangka diumumkan pada Januari 2018.
“Pemantauan (sedia ada) tidak begitu memberi kesan kepada pembantu rumah.
“Pegawai pemeriksa pekerja contohnya tidak boleh masuk dalam kawasan rumah bagi memeriksa keadaan pembantu rumah, sepertimana mereka boleh masuk ke premis perniagaan bagi menjalankan pemeriksaan,” kata Glorene.
“Jika kita tidak mempunya perlindungan, akan terjadi lebih banyak penderaan,” tegasnya.
Glorene juga menjelaskan terdapat 50,000 majikan Malaysia masih menunggu khidmat pembantu rumah ketika kebelakangan ini negara seperti Indonesia, Filipina dan Kemboja mengenakan syarat ketat dalam menghantar rakat mereka ke Malaysia.
Berkenaan sistem baru atas talian kerajaan bagi mengambil pembantu rumah secara langsung, Glorene berkata Tenaganita menyokong kaedah itu kerana ia terbukti memberi perlindungan yang lebih baik kepada pekerja.
Dalam masa sama, beliau juga menggesa kerajaan lebih telus berhubung rancangan untuk menguruskan sistem baru itu, yang dijadualkan akan dilaksanakan bermula 1 Januari.
“Kami mendengar pelbagai maklum balas; bahawa Menteri Dalam Negeri sedang berusaha menubuhkan agensi yang akan mengambil pekerja secara langsung, namun kami masih fikir ada hal yang tidak jelas dari segi proses.
“Jadi ya, kami sokong konsep pengambilan pekerja secara langsung, tapi kami juga menggesa sistem yang jelas dan telus mengenai proses mengambil pembantu rumah,” katanya.
Berkenaan undang-undang sedia ada, Glorene berkata, terdapat “jurang ketara” dalam memahami apa yang dikategorikan sebagai penyeludupan pekerja, yang merupakan isu berlarutan yang menjejaskan pekerja asing di sini.
Merujuk kepada Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, beliau menjelaskan bahawa terdapat banyak pelanggaran terhadap pekerja asing yang seharusnya dikategorikan sebagai kesalahan di bawah undang-undang itu.

