Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengenepikan waran tangkap terhadap anggota parlimen Batu Chua Tian Chang yang dikeluarkan semalam.

Hakim Datuk Sofian Abdul Razak memutuskan perkara itu selepas penjelasan oleh peguam Tian Chua, Eric Paulsen.

Paulsen memberitahu mahkamah yang Tian Chua tidak tahu beliau perlu hadir ke mahkamah semalam.

Beliau yang juga naib presiden PKR hadir pada sesi hari ini.

"Sebelum ini, pengurusan kes dilakukan di depan timbalan pendaftar di mana kehadirannya (Tian Chua) tidak diperlukan," kata Paulsen kepada Malaysiakini.

Selepas penjelasan itu, Sofian setuju untuk mengenepikan waran tangkap.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mengeluarkan waran tangkap apabila Tian Chua tidak hadir pengurusan kes rayuannya yang didapati bersalah di bawah Akta Hasutan 1948.

Pada September 2016, Chua didapati bersalah berhubung kenyataan yang dibuatnya ketika forum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada 201, sebaik selepas pilihan raya umum ke-13.

Beliau dihukum penjara tiga bulan dan denda RM1,800.

Chua membuat rayuan terhadap keputusan itu, manakala pihak pendakwaan merayu agar hukuman lebih keras dijatuhkan.

Hukuman maksimum bagi kesalahan tersebut adalah penjara tiga tahun atau denda Rm5,000, atau kedua-duanya sekali.

Anggota Parlimen yang didenda lebih RM2,000 atau dijatuhi hukuman penjara lebih daripada satu tahun, akan kehilangan kerusi di Dewan Rakyat dan dihalang daripada bertanding bagi kerusi itu selama lima tahun.