Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sekumpulan pengundi dari Saujana Utama, Kuala Selangor, mengemukakan bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana bakal dipindahkan ke kawasan lain melalui pelaksanaan persempadanan semula.

Asas kepada bantahan itu, kata mereka, ialah akan menimbulkan kekeliruan.

Melalui sempadan pilihan raya sedia ada mereka mengundi untuk kerusi N12 (Jeram) yang terletak di bawah kawasan parlimen Kuala Selangor.

Persempadanan semula itu nanti menyebabkan mereka mengundi untuk kerusi N38 (Paya Jaras) yang berada di bawah kawasan parlimen Subang yang bakal dinamakan semula sebagai Sungai Buloh.

Bantahan itu dibangkitkan dua kumpulan berasingan pada hari ketiga sesi siasatan awam SPR di sebuah hotel di Shah Alam hari ini.

Anggota Parti Amanah Negara (AMANAH) cawangan Saujana Utama Hafizah Ghazali (gambar) hadir menyatakan bantahan di depan panel tujuh anggota SPR memberitahu, jika pesempadanan semula itu diterima, ada dua kerajaan tempatan mengelolakan sebuah kawasan taman perumahan yang kecil.

"Ini akan menyebabkan kekeliruan di kalangan penduduk setempat," katanya.

Seorang lagi pengundi Abdul Hakim juga anggota AMANAH Saujana Utama - menjelaskan walaupun mengundi untuk kerusi Sungai Buloh, penduduk terbabit tetap berada di bawah pentadbiran Majlis Daerah Kuala Selangor.

Kawasan parlimen Subang (atau nanti menjadi Sungai Buloh) terletak di bawah bidang kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam.

"Ini akan menyebabkan masalah apabila kami perlu berurusan dengan masalah-masalah tempatan seperti perparitan, pokok-pokok, kesesakan jalan raya dan sebagainya," kata Abdul Hakim.

Jeram BN, Ijok PKR

Yusri Harun (gambar) pula menjelaskan dia membantah cadangan persempadanan semula itu yang menyaksikan pengundi di Kampung Bukit Ceraka - kini berada di bawah Jeram - ke kawasan Dewan Undangan Negeri Ijok (N11).

Anggota AMANAH itu memberitahu langkah berkenaan dilihat cubaan pihak terabit untuk menggunakan pengundi Melayu di Felda Bukit Ceraka supaya menjadi pemilih di Ijok.

Untuk rekod kerusi Jeram kini diwakili Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN, iaitu Datuk Amiruddin Setro yang mengalahkan calon PAS pada pilihan raya umum (PRU) lalu dengan majoriti 2,834 undi.

Kerusi Ijok pula disandang wakil PKR, Dr Idris Ahmad, yang memenanginya selepas mengetepikan calon BN, K Parthiban, dengan kelebihan 739 undi pada PRU ke-13 lalu.

Kerusi Parlimen Kuala Selangor pula dirampas calon BN, Datuk Irmohizam Ibrahim, daripada wakil PAS Dr Dzulkefli pada PRU lalu dengan majoriti 460 undi.

Irmohizam adalah seorang tokoh yang dekat dengan Datuk Seri Najib Razak.

Dakwa ada manipulasi

Sementara itu Timbalan Yang Dipertua PAS Kuala Selangor Mohd Fakaruddin Ismail, berkata cadangan persempadanan semula itu boleh menimbulkan masalah kepada penduduk setempat yang ingin berurusan dengan pihak berkuasa tempatan.

Mohd Fakaruddin yang menjadi pengundi berdaftar di Kampung Bukit Ceraka berkata kebanyakan mereka dipindahkan tanpa rela.

"Mereka mahu mengundi di Jeram tetapi terpaksa mengundi untuk Ijok," katanya.

Pada masa sama Mohd Fakaruddin (gambar) menjelaskan pemindahan kira-kira 5,000 pengundi dari Kampung Bukit Ceraka ke Ijok akan meningkatkan peratusan pemilih Melayu daripada kira-kira 40 peratus menjadi 60 peratus.

Selain itu katanya PAS Kuala Selangor membantah pesempadanan semula itu kerana ia membawa kemasukan pengundi dari kawasan Ladang Tuan Mee di Ijok ke kawasan Jeram.

Keadaan itu katanya akan menyebabkan kesukaran kepada aspek pentadbiran setempat.

Persempadanan semula kawasan pilihan raya dibayangi dakwaan salah laku dan manipulasi.

Bagaimanapun pengundi boleh mengemukakan bantahan untuk diteliti oleh SPR melalui siasatan awam yang perlu diadakan mengikut perlembagaan negara.

Sesi siasatan awam SPR itu bermula semalam dan dijadual berlangsung sehingga 8 Jan tahun depan.

Lihat Komen
ADS