Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kabinet Islam sahaja, media kelirukan kata-kata'

Bercakap untuk pertama kali selepas beliau didakwa membuat desakan untuk kabinet menteri orang Islam sahaja, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata beliau cuba untuk menjelaskan Islam lebih fleksibel berbanding ideologi lain dalam penulisan ruangan kolumnya.

Namun demikian, beliau mendakwa kata-katanya dengan sengaja dikelirukan pihak media.

"Sebenarnya mereka takut kepada pengaruh Islam ini, menguasai hati-hati manusia, bukan sahaja menguasai negara. Kepada saya kalau rakyat di Malaysia boleh menerima pelbagai-bagai ideologi yang diimport daripada barat, sama ada liberal kapitalisme, ataupun sosialisme, sehingga yang berjuang dengan komunisme masuk hutan.

"Sanggup belaka. Mengapa mereka tak boleh menerima Islam sebagai suatu alternatif – Islam yang pernah memerintah negara dengan sifat yang lebif anjal," kata beliau dalam ucapan di ibu pejabat PAS hari ini ketika merasmikan PAS Pilihanku 2.0, sebuah program bertujuan menambah keanggotaan parti itu.

Menurut Hadi, di Amerika Syarikat (AS) misalnya parti Demokrat dan Republican yang bersaing akan mengisi kabinet dengan anggota parti masing-masing, jika ia menjadi parti pemerintah. Begitu juga amalan di parlimen Eropah.

Pelaksana dan pembuat dasar

Beliau berkata malahan di AS, parti pemerintah akan melantik para penyokongnya untuk mengisi jawatan penting dalam pentadbiran awam.

Sebaliknya, beliau berkata Islam terbuka untuk melantik bukan Islam bagi menggunakan kepakaran mereka termasuklah sebagai anggota exco negeri tetapi hanya sebagai pelaksana dasar.

Bagaimanapun, beliau berkata pembuat dasar masih lagi orang Islam.

Sebelum ini, New Straits Times memetik desakan Hadi untuk diwujudkan kabinet menteri yang keanggotaannya terdiri daripada orang Islam sahaja. Laporan itu berdasarkan tulisan kolum Hadi yang terbit di organ rasmi PAS, Harakah Daily pada 22 Disember lalu.

Beberapa pihak seperti DAP, MCA dan Majlis Perundingan Malaysia bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST).

Bagaimanapun, beberapa pemimpin PAS mempertahankan kenyataan Hadi. Antaranya, ketua penerangan PAS Nasrudin Hassan yang berkata pemerintahan orang Islam sahaja itu tidak muktamad dan merujuk kepada kementerian tertentu sahaja.

Setiausaha akhbar presiden PAS, Abdul Malik Razak pula dilaporkan menuntut New Straits Times dan wartawan yang menulis berita itu untuk memohon maaf.

[Baca berita asal]
 

Lihat Komen
ADS