Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis akan rakam kenyataan Isa Samad - IGP
Diterbitkan:  Jan 5, 2018 10:24 AM
Dikemaskini: 9:19 AM

Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad sepatutnya memberi keterangan semalam berhubung isu pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, tetapi beliau dijangka berbuat demikian pagi ini.

Menurut New Straits Times, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata beliau dimaklumkan bahawa Isa tidak dapat berbuat demikian semalam dan sebaliknya meminta kenyataannya dirakamkan hari ini.

Fuzi dilaporkan berkata, beliau dimaklumkan bahawa Isa akan hadir di Menara 238 (Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial) pada pukul 10 pagi semalam.

Bagaimanapun, katanya, beliau kemudiannya dimaklumkan bahawa Isa tidak dapat hadir semalam dan hanya akan hadir hari ini.

Semalam, Bernama telah memetik Fuzi mengatakan bahawa Isa berada di Bukit Aman dan telah selesai memberikan kenyataannya.

Pada 21 Disember lepas, media melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.

Isa menjadi Pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017 dan menjadi Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Jan 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga 2017.

[Baca berita penuh]
 

Lihat Komen
ADS