Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saman Rafizi: Rahman tunggu tempoh matang
Diterbitkan:  Jan 9, 2018 12:43 PM
Dikemaskini: 4:54 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, beliau tetap akan meneruskan saman terhadap Rafizi Ramli pada masa yang sepatutnya.

Dalam kenyataannya hari ini Abdul Rahman berkata beliau dinasihat oleh peguamnya bahawa tempoh tuntutan terhadap naib presiden PKR itu belum matang.

Kata Abdul Rahman surat tuntutan pertama dikeluarkan pihaknya melalui Tetuan Raja Riza & Associates pada 5 Jan lalu melalui kiriman pos berdaftar serta serahan tangan pada hari sama.

"Bagaimanapun, serahan secara kediri pada hari tersebut gagal berikutan Rafizi tiada di pejabatnya di Pusat Khidmat Anggota Parlimen Pandan," katanya.

Wakil Abdul Rahman membuat serahan kediri kedua semalam di alamat sama, namun, katanya Rafizi masih tiada di pejabat.

Oleh yang demikian, katanya, surat tuntutan tersebut diterima seorang lelaki dipercayai kakitangan pusat khidmat berkenaan.

"Surat tersebut menuntut antara lain supaya Rafizi menarik balik kenyataannya dan menerbitkan permohonan maaf terhadap saya dalam tempoh tujuh hari dari tarikh surat tuntutan berkenaan," kata Abdul Rahman.

Abdul Rahman berkata demikian sebagai menjawab komen dibuat Rafizi semalam.

Dalam kenyataan itu Rafizi mengingatkan Abdul Rahman bahawa tiga minggu sudah berlalu sejak menteri terbabit mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Ikut tempoh ditetapkan

Saman itu diperkatakan ekoran tindakan Rafizi menamakan Raslan Dahlan - iaitu pemilik syarikat yang menganjurkan Ekspo Negaraku - sebagai abang Abdul Rahman.

Ekspo itu diadakan di Dataran Merdeka dianjurkan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan diuruskan syarikat PICO Integrated Exhibit Sdn Bhd.

Rafizi kemudian memohon maaf atas dakwaan itu tetapi berkata ia tidak sepatutnya mengalihkan tumpuan terhadap ekspo selama sebulan itu yang menelan belanja RM37 juta.

“Kira-kira tiga minggu yang lalu iaitu 14 Disember 2017, Abdul Rahman dengan gahnya mengeluarkan kenyataan telah memulakan proses saman terhadap saya berhubung kenyataan-kenyataan saya mengenai Ekspo Negaraku.

“Saya ingin memaklumkan bahawa saya masih menunggu surat saman daripada Abdul Rahman sehingga sekarang.

“Esok akan memasuki Selasa yang keempat sejak beliau mengumumkan mahu menyaman saya, dan saya berharap ia bukan gimik seperti gimik ketuanya, Datuk Seri Najib Razak yang ingin menyaman Wall Street Journal tetapi belum disaman sehingga ini,” katanya semalam.

Kata Abdul Rahman beliau akan tetap memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi jika tuntutan yang dibuat tidak dipenuhi.

"Sekiranya Rafizi gagal mematuhi surat tuntutan tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan, saya akan mengarahkan peguamcara saya untuk memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi Ramli," katanya.

Lihat Komen
ADS