Mahkamah benarkan rayuan pejabat AG dalam kes P Chandran
Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan oleh Pejabat Peguam Negara yang mewakili polis hari ini berhubung ganti rugi sebanyak RM357,500 kepada keluarga P Chandran yang mati ketika dalam tahanan polis enam tahun yang lalu.
Ini bagi membolehkan ketiga-tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif meneliti penghakiman kontroversi dalam kes A Kugan November lalu, di mana mahkamah memutuskan anggota keluarga tidak berhak menerima ganti rugi teladan.
Keluarga Chandran dianugerahkan sejumlah RM357,500 ganti rugi merangkumi RM200,000 untuk ganti rugi teladan, RM144,000 untuk kehilangan pendapatan, RM10,000 untuk kehilangan pergantungan dan RM3,500 dalam ganti rugi khas untuk perbelanjaan pengebumian.
Keputusan itu dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan Mei lepas.
Peguam M Visvanathan memberitahu mahkamah bahawa kes Chandran sedikit berbeza kerana pihak polis dan kerajaan tidak merayu seluruh keputusan yang mendapati pihak polis bertanggungjawab terhadap kematian itu, tetapi hanya terhad kepada jumlah wang yang akan diterima (kuantum) seperti yang dinyatakan di Mahkamah Rayuan.
Tambahan pula, Visvanathan berkata peguam kanan persekutuan Alice Loke dalam permohonan bertulisnya seolah-olah bersetuju bahawa ganti rugi teladan harus diberikan dan jumlah nominal RM30,000 adalah mencukupi.

