Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Perbincangan yang melibatkan peruntukan kerusi Parlimen untuk parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk pilihan raya umum (PRU) ke-14 masih boleh diteruskan sehingga satu lagi pengumuman rasmi yang dijadual minggu depan, kata Pengarah Pilihan Raya Parti Amanah Negara (AMANAH) Dr Hatta Ramli.

Beliau berkata, ini kerana apa yang dimuktamadkan sebelum ini hanyalah jumlah kerusi yang ditandingi setiap parti.

"Mana yang boleh runding, kita runding. Asalkan kita menang," kata Hatta menjawab soalan pemberita berhubung isu yang hangat dibincangkan itu, pada sidang media di ibu pejabat AMANAH, hari ini.

Hatta yang mengetuai AMANAH bagi rundingan kerusi berkata, antara yang akan terus dibincangkan adalah pertukaran kawasan Parlimen atau calon parti bertanding di kawasan yang diberikan kepada parti komponen.

Namun, beliau enggan mengesahkan berhubung perbincangan meletakkan calon dari AMANAH di Parlimen Ayer Hitam yang diberikan kepada DAP.

"Perbincangan ini biarlah dibuat di belakang tabir. Selepas itu, (keputusan) boleh diambil kira atas prinsip persetujuan bersama dan manfaat bersama," katanya yang juga Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan.

Untuk Semenanjung Malaysia, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan bertanding di 52 kerusi Parlimen, PKR (51), DAP (35) dan AMANAH (27).

Ditanya soal anggota AMANAH yang dikatakan kecewa kerana mendapat kerusi paling sedikit, Hatta berkata tumpuan sepatutnya bagi memastikan kemenangan di setiap kawasan yang ditandingi.

Beliau juga berkata kemenangan di semua 27 kerusi Parlimen akan menyamai pencapaian terbaik "parti lama" pada 1999, merujuk kepada kejayaan PAS pada PRU ke-10.

"Yang penting menang di 27 kerusi, Kalau menang semua kerusi ini, ia sesuatu yang boleh dihormati berbanding parti lama.

"Pencapaian terbaik parti lama adalah pada PRU 1999. Itulah kerusi paling banyak yang dimenangi mereka.

Beliau yang juga anggota parlimen Kuala Krai berkata, AMANAH masih lagi dalam perbincangan untuk bertanding di lapan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak.

"Jumlah itu (35 kerusi) adalah angka yang wajar.

"Dan berapa saja kerusi yang diberikan kepada AMANAH, kita akan memastikan untuk menang semua atau sebanyak yang mungkin, agar HARAPAN dapat membentuk kerajaan persekutuan yang lebih kuat," katanya sambil menjamin jentera AMANAH akan membantu semua calon HARAPAN.

Berkenaan rundingan kerusi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, Hatta berkata partinya sedia untuk bertanding di banyak kawasan sekurang-kurangnya di satu negeri, tetapi tidak akan membuat tuntutan untuk perkara itu.

"Anda sudah menjawabnya sendiri," katanya menjawab soalan sama ada beliau merujuk kepada Kelantan atau tidak.

Lihat Komen
ADS