Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PSM tak akan guna logo PKR
Diterbitkan:  Jan 12, 2018 12:17 PM
Dikemaskini: 4:48 AM

Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak akan menggunakan logo PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 seperti yang dilakukannya pada dua PRU lalu.

Timbalan Pengerusinya, M Sarasvathy berkata parti itu telah memutuskan untuk bertanding menggunakan logo sendiri  di lima kawasan Parlimen dan 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

"Pada PRU lalu, ramai ahli kita yang keliru apabila (calon PSM) bertanding guna tiket PKR.

"Di Parlimen pun, wakil rakyat kita tidak guna lambang PKR, tetapi PSM. Jadi adalah lebih wajar kali ini bertanding guna lambang sendiri," katanya ketika ditemui pemberita di Ipoh semalma, lapor BH Online.

Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar Devaraj, dalam sebuah akhbar semalam dilapor akan mempertahankan kerusi berkenaan pada PRU Ke-14 menggunakan lambang PSM, dan bukan PKR seperti dilakukan pada PRU Ke-12 dan Ke-13.

Mengulas perkara itu Sarasvathy berkata beliau percaya pengundi di Sungai Siput akan terus mengundi Dr Jeyakumar kerana keperibadiannya meskipun akan berlaku pertembungan tiga penjuru antara PSM, PKR dan BN.

Beliau turut menafikan keengganan parti itu menggunakan logo PKR dan bertanding bersendirian akan mengakibatkan perpecahan undi pembangkang.

"Kami hanya bertanding di tiga peratus daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen seluruh negara, bagaimana kami boleh mewujudkan pertandingan tiga atau pelbagai penjuru.

"Sebaliknya PAS dan Gagasan Sejahtera (yang dijangka bertanding banyak kerusi) akan mengakibatkan berlaku pertembungan tiga penjuru atau lebih," katanya.

Katanya, PSM sentiasa sedia berbincang dengan pakatan pembangkang, malah turut menghantar surat meminta diadakan perbincangan tetapi sehingga kini pintu perundingan masih belum terbuka untuk parti berkenaan.

Beliau berharap dapat mengadakan perbincangan dengan pakatan pembangkang dalam tempoh terdekat dan bukannya selepas Parlimen dibubarkan seperti yang berlaku pada dua PRU lalu.

"Jangan ajak bincang saat-saat terakhir, kita mahu kali ini bincang lebih awal. Jangan ajak bincang selepas Parlimen dibubarkan, ia akan mewujudkan lebih banyak masalah dalam kalangan parti pembangkang," katanya.

Lihat Komen
ADS