Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: Persempadanan semula dan pengundi jadikan Langkawi satu cabaran
Diterbitkan:  Jan 13, 2018 8:38 AM
Dikemaskini: 4:40 AM

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata gabungan itu akan berdepan dengan tugas berat untuk menang di Langkawi kerana persempadanan semula dan pengundi dipindahkan dari kawasan pilihan raya itu.

Beliau dilaporkan berkata perkembangan itu telah membawa kepada pengurangan 1,000 pengundi di kawasan itu, yang sekian lama dikenali sebagai kubu kuat Umno.

Nanyang Siang Pau melaporkan Mahathir memberitahu satu ceramah di Kukup, Johor, pada hari Khamis bahawa pengundi yang dipindahkan itu mungkin tidak sedar yang mereka tidak lagi boleh mengundi di Langkawi.

Laporan itu berkata Mahathir tidak menyatakan sama ada beliau akan dicalonkan bertanding di Langkawi.

Pada September tahun lepas, Mahathir memberitahu Malaysiakini bahawa seandainya HARAPAN memerlukannya untuk dicalonkan, beliau akan melihat sama ada Langkawi atau Putrajaya.

Mahathir dilihat sebagai orang yang bertanggungjawab mengubah Langkawi dari sebuah kampung nelayan menjadi satu destinasi pelancongan yang terkenal di peringkat antarabangsa.

Pada tahun 2013, Calon BN Nawawi Ahmad memenangi kerusi Langkawi dengan mendapat 57 peratus daripada jumlah undi.

Nanyang Siang Pau juga memetik Mahathir sebagai mengulangi bahawa kenyataannya mengenai "lanun Bugis" semata-mata ditujukan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Akhbar itu melaporkan bahawa mereka yang hadir di ceramah itu, yang dikatakan kebanyakannya dari keturunan Bugis, dalam reaksi mereka, dilaporkan melaungkan "Hidup Tun".

Laporan akhbar berbahasa China itu juga melaporkan bahawa beberapa anggota masyarakat Bugis juga dilihat mengambil gambar dengan Mahathir dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Dalam perhimpunan HARAPAN pada bulan Oktober, Mahathir dilaporkan berkata Najib mungkin berasal dari "lanun Bugis" dan seorang kleptokrat. Ini menimbulkan bantahan daripada beberapa kumpulan yang mendakwa mewakili masyarakat Bugis dan teguran dari istana Selangor.

Berikutan itu, Mahathir menjelaskan bahawa kenyataan itu semata-mata ditujukan kepada Najib dan kemudiannya memulangkan anugerah darjah kebesaran negeri Selangor.

Kukup terletak di Tanjung Piai, sebuah kawasan parlimen yang HARAPAN peruntukkan kepada BERSATU. Kerusi itu dimenangi oleh MCA pada tahun 2013, dengan majoriti tipis.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS