Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azmin mahu ‘bunuh dua burung guna satu batu’
Diterbitkan:  Jan 15, 2018 2:23 PM
Dikemaskini: 6:28 AM

Timbalan Ketua Umno Bahagian Gombak, Senator Datuk Megat Zulkarnain Omardin berpandangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah seorang ahli politik licik apabula menawarkan kerusi Parlimen Gombak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, timbalan presiden PKR itu cuba “membunuh dua burung menggguna satu batu”.

“Pertamanya, Mohamed Azmin boleh mempergunakan Dr Mahathir dengan mencalonkan beliau di Gombak bagi membolehkannya lari ke kawasan selamat lain.

“Keduanya, jika Dr Mahathir kalah di Gombak, maka Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu tidak layak menjadi perdana menteri sekali gus membuka peluang kepada Mohamed Azmin.

“Beliau ‘bunuh dua burung guna satu batu’,” katanya yang dipetik akhbar Utusan Malaysia hari ini.

Sabtu lalu, menerusi akaun twitter, Mohamed Azmin menawarkan kerusi Parlimen Gombak yang disandang beliau kepada Dr Mahathir untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Pakatan pembangkang pada awal bulan ini mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri sekiranya HARAPAN menang PRU ke-14.

Pengumuman itu menyebabkan beberapa pihak dalam pakatan itu tidak bersetuju, terutama dari kalangan PKR Selangor yang mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju.

Mohamed Azmin bagaimanapun menegaskan bahawa Dr Mahathir merupakan pilihan terbaik HARAPAN.

Dr Mahathir sebelum ini berkata beliau mempertimbangkan tiga kerusi termasuk bekas parlimennya di Kubang Pasu, selain Langkawi dan Putrajaya.

Akhbar milik Umno itu juga memetik Ketua Pemuda Umno Selangor, Zainuri Zainal yang senada apabila percaya Mohamed Azmin sedar dirinya mempunyai peluang tipis untuk mengekalkan kedudukan di Parlimen Gombak.

Menurutnya, ini kerana dalam pilihan raya umum 2008 dan 2013 sebelum ini, kemenangan Mohamed Azmin di kawasan parlimen berkenaan adalah hasil daripada sokongan pemimpin serta jentera PAS.

“Bagi saya tawaran Mohamed Azmin itu seolah-olah satu helah licik yang cuba dilakukan kerana beliau tahu jika Dr. Mahathir bertanding di Parlimen Gombak, bekas Perdana Menteri itu dijangka berhadapan dengan peluang tipis untuk menang apabila berhadapan dengan PAS dan BN.

“Jika Dr Mahathir kalah di Parlimen Gombak, maka peluang beliau untuk menjadi Perdana Menteri itu sudah tentunya mustahil.

“Mohamed Azmin pula dijangka mencari dan bertanding di kawasan selamat dan kemudiannya dianggap sebagai calon sesuai untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya yang dipetik oleh akhbar itu lagi.

Utusan juga memetik Setiausaha Perhubungan Umno Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz sebagai berkata, tawaran Mohamed Azmin kepada Dr Mahathir itu hanya wayang dan alasan untuk dia lari dari kelemahan pentadbirannya yang mengabaikan penduduk di parlimen berkenaan.

“Saya lihat banyak rakyat di Parlimen Gombak yang merungut dengan kepemimpinan beliau kerana diabaikan sehingga ada kawasan yang tidak pernah dilawati oleh Mohamed Azmin.

“Sebaliknya, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar sendiri terpaksa turun ke kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Parlimen itu bagi mengatasi masalah bumbung rosak dan sampah,” katanya yang dipetik akhbar itu.

Lihat Komen
ADS