Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
NGO: Kenyataan UMMAH cenderung menghasut
Diterbitkan:  Jan 15, 2018 10:29 PM
Dikemaskini: 2:37 PM

Kenyataan pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) bahawa hanya orang Melayu sahaja yang melawan pendudukan Jepun cenderung bersifat hasutan dan secara faktanya tak dapat ditegakkan, kata Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) hari ini.

Dalam suatu kenyataan media, naib presiden MCCBCHST Jagir Singh berkata beliau kesal seorang ulama yang menganjurkan Konvensyen Kebangkitan Ummah telah memberikan gambaran yang salah berhubung fakta sejarah dan dalam berbuat demikian ia telah memadamkan sumbangan bukan Melayu dalam sejarah itu.

"Sebaliknya, mereka perlu menjadi lebih inklusif dan mengiktiraf sumbangan semua kumpulan etnik dan membantu mempromosikan penyatuan dan rasa kebersamaan sesama warga negara.

"Bukti sumbangan bukan Melayu sangat jelas untuk kita semua melihatnya," kata Jagir memetik kenyataan yang membidas kenyataan Ismail oleh beberapa pihak termasuklah Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) dan Malaysian Armed Forces Chinese Veterans Association (Macva).

Salah gambaran sejarah

Lantaran itu, Jagir menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri untuk mengeluarkan kenyataan bagi membetulkan salah gambaran fakta sejarah yang disebut dalam konvensyen itu.

"Ketiadaan tindakan hanya menggalakkan lagi mereka dan pada jangka masa panjang akan mengakibatkan perpecahan dan ketidakstabilan dalam negara. Kerajaan perlu bertegas dengan menyiasat ulama berkenaan kerana ucapan yang cenderung bersifat hasutan itu.

"Rakyat Malaysia mesti bersatu dan bersama-sama mengiktiraf sumbangan masing-masing supaya kita boleh bersatu sebagai rakyat Malaysia serta menggerakkan negara ini ke hadapan," katanya.

Dalam Konvensyen Kebangkitan Ummah pada Sabtu lalu, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Ismail Mina Ahmad mendakwa hanya orang Melayu sahaja yang berkorban nyawa mereka untuk Malaya dan mempertahankan apa yang dikatakan beliau sebagai fakta sejarah.

"Ini bukan rasis tapi nak cerita sejarah. Yang menentang Siam adalah Melayu.

"Yang menentang penjajah Jepun, Inggeris ialah Melayu. Orang Melayu jugalah yang menentang penjajahan bintang tiga (komunis).

"Pada penjajahan bintang tigalah orang Melayu dibunuh," katanya

Semalam, presiden PATRIOT, sebuah NGO veteran tentera,  Datuk Mohamed Arshad Raji membidas Ismail Mina Ahmad berhubung ucapannya pada Sabtu lalu yang mendakwa hanya orang Melayu berjuang melawan komunis.

Mohamed Arshad berkata dakwaan Ismail mengenai sejarah negara adalah salah dan menyeru kerajaan mengeluarkan kenyataan bagi memperbetulkan pandangan tersebut.

 

Lihat Komen
ADS