AS tahan separuh sumbangan dana bantu rakyat Palestin
GLOBAL Amerika Syarikat pada hari Selasa berkata ia akan menahan kira-kira separuh daripada sumbangan dana bantuan awal yang dirancang untuk disalurkan kepada sebuah agensi PBB yang membantu rakyat Palestin, dua minggu setelah Presiden Donald Trump mempersoalkan nilai pendanaan tersebut.
Dalam mengumumkan bahawa ia akan menyediakan AS$60 juta kepada Agensi Bantuan dan Kebajikan PBB (UNRWA) dan buat masa ini menahan bakinya AS$65 juta, Jabatan Negara AS berkata agensi itu perlu membuat pembaharuan yang tidak dinyatakan.
Pejabat Organisasi Pembebasan Palestin, Wasel Abu Youssef mengkritik langkah itu, dan menuduh AS sengaja menafikan rakyat Palestin hak mereka dan mengaitkannya dengan keputusan Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagaiibunegara Israel, yang dikecam hebat.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata beliau tidak menyedari sebarang pemotongan bantuan tetapi "memandang berat" mengenai kemungkinan itu kerana ia "merupakan faktor penting dalam memastikan kestabilan."
Ketua Pesuruhjaya UNRWA, Pierre Krähenbühl dalam satu kenyataan berkata pengurangan sumbangan AS itu "mengancam salah satu usaha pembangunan manusia yang paling berjaya dan inovatif di Timur Tengah."
Keputusan untuk menahan penyaluran dana itu mungkin akan menyulitkan usaha untuk menghidupkan semula perundingan damai Israel-Palestin dan seterusnya melemahkan lagi kepercayaan Arab dan menganggap AS boleh bertindak sesuka hati.
Rundingan terakhir menemui kegagalan pada 2014, sebahagiannya kerana bantahan Israel terhadap percubaan mewujudkan perjanjian perpaduan antara puak Palestin Fatah dan Hamas dan pembinaan penempatan Israel di kawasan di mana Palestin, antara faktor lain, mahu mewujudkan sebuah negara di situ.
Duta besar Israel ke PBB, Danny Danon,dilaporkan berkata UNRWA telah terbukti berkali-kali sebagai sebuah agensi yang didakwanya telah menyalahgunakan bantuan kemanusiaan untuk masyarakat antarabangsa dan sebaliknya menyokong propaganda anti-Israel, mengekalkan masalah pelarian Palestin dan menggalakkan kebencian.
Dalam menyatakan bahawa keputusan itu akan menampung sekolah dan perkhidmatan kesihatan, jurucakap Jabatan Negara Heather Nauert, bersetuju dengan gesaaan Trump supaya negara-negara lain menambah sumbangan dana kerana beliau percaya AS telah menyumbang lebih daripada sepatutnya.
Jabatan Negara menulis surat kepada UNRWA mengenai keputusan itu, kata jurucakap Nauert. Beliau berkata walaupun pembaharuan dalam UNRWA adalah syarat untuk menyalurkan lebih banyak dana, tetapi keputusan itu tidak bertujuan menghukum" sesiapa pun.
Dalam satu catatan Twitter pada 2 Januari lalu, Trump berkata Washington memberi kepada rakyat Palestin "Ratusan juta setahun dan tidak dihargai atau dihormati'.
Trump menambah bahawa "dengan Palestin tidak lagi mahu berunding untuk berdamai, mengapa kita perlu lagi membuat sebarang pembayaran besar ini pada masa depan kepada mereka? "
Pegawai AS, walaupun tidak mengaitkan keputusan itu dengan tweet Trump, mengatakan bahawa AS adalah penyumbang tunggal terbesar UNRWA selama beberapa dekad.
Pembantu Trump pada awalnya membahaskan sama ada untuk menghentikan semua bantuan kepada UNRWA, kata seorang pegawai AS yang tidak dikenali, tetapi mereka yang menentangnya berpendapat bahawa ia boleh terus menjejaskan kestabilan di wilayah tersebut. [Baca berita penuh]
- Reuters


确定要删除留言?
此后将无法恢复