Tabung kini RM185,000
Sasaran supaya orang ramai membantu mengumpulkan RM350,000 untuk tabung pembelaan Malaysiakini telah melepasi separuh jalan, dengan kutipan semasa pada RM185,000.
Setakat ini, 1,400 orang telah menghulurkan sumbangan, dengan jumlah terbesar ialah RM3,000.
"Pembaca kami di Malaysia dan di luar negara sangat murah hati. Sebahagian besar mereka adalah pesara, yang tidak mempunyai banyak wang, kami sedang memikirkan cara untuk mengenang kemurahan hati mereka yang luar biasa ini," kata ketua pegawai eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran.
Premesh berkata walaupun sejumlah besar berjaya dikumpulkan sejak Khamis lalu, masih ada cara untuk mencapai sasaran akhir.
"Kami mengharapkan lagi sumbangan pada hari-hari akan datang."
Ketua Pengarang Kumpulan, Steven Gan berkata Malaysiakini, telah bersama-sama dengan pembaca dan penyokongnya, melalui pelbagai pengalaman pahit dan manis sepanjang 18 tahun lalu.
"Namun, saya tidak pernah berhenti mengagumi sikap rakyat yang berdiri teguh apabila kami berdepan ancaman getir dan serius," kata Gan.
"Mereka menyumbang tetapi tidak mengharapkan sebarang balasan, kecuali supaya kami terus melaksanakan tugas tanpa rasa takut dan berpihak. Sememangnya, mereka ini - yang sebahagian besar memilih untuk tidak mendedahkan nama - adalah wira sebenar.
"Saya amat terharu dengan kepercayaan yang diberikan mereka. Justeru, Malaysiakini tidak mampu, dan tidak boleh gagal."
Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya setelah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkan Malaysiakini membayar gantirugi RM200,000 dan kos perundangan RM150,000 kepada Raub Australian Gold Mine (RAGM).
RAGM mengemukakan saman fitnah selepas Malaysiakini melalui tiga artikel dan dua klip video melaporkan mengenai kebimbangan penduduk mengenai aktiviti perlombongan - di mana bahan kimia berkaitan sianida digunakan untuk melombong emas - berhampiran kampung mereka di Bukit Koman di Raub, Pahang.
Pada 2016, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak saman RAGM atas alasan ia gagal membuktikan niat jahat di pihak Malaysiakini.
Walau bagaimanapun, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang diketuai oleh Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 11 Januari.
Syarikat itu bagaimanapun telah menghentikan operasi perlombongannya dan memohon pembubaran pada tahun lalu.
Mereka yang ingin menyumbang kepada Tabung Pembelaan Malaysiakini boleh menyumbang ke dalam akaun berikut:
• Nama akaun: Mkini Dotcom Sdn Bhd
• Nombor Akaun: 514253516714 (Maybank)
• Kod Swift: MBBEMYKL
• Alamat cawangan: Dataran Maybank, Tingkat 1 Menara A, Dataran Maybank, 59000 Kuala Lumpur.
Sebagai alternatif, anda juga boleh menderma menggunakan kad kredit dengan menghubungi kami di +603 7770 0017 atau melalui PayPal.
Artikel berkaitan:
Malaysiakini mohon bantuan orang ramai kumpul RM350,000
Sumbangan bantu Malaysiakini cecah RM100,000

