Berita Malaysiakini

Malaysiakini mohon bantuan orang ramai kumpul RM350,000

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini memohon bantuan orang ramai untuk membantunya mengumpul RM350,000 selepas Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dalam satu kes fitnah.

Jumlah yang dianugerahkan oleh Mahkamah Rayuan kepada syarikat Raub Australian Gold Mine (RAGM) terdiri daripada gantirugi RM200,000 dan kos perundangan RM150,000.

"Peguam kami akan memohon untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu, Sementara menunggu keputusannya, kami perlu menyediakan wang itu," kata ketua pengarang Malaysiakini, Steven Gan.

"Dan sekiranya penangguhan itu tidak diberikan, kami perlu membayar RM350,000 pada minggu-minggu akan datang. Jika tidak, RAGM boleh mengambil tindakan penggulungan terhadap Malaysiakini," katanya.

Gan berkata Malaysiakini akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu kerana ia akan memberi kesan buruk kepada wartawan dalam menjalankan tugas mereka.

Kalau tidak, tegas Gan, keputusan mahkamah itu akan menjadikan sangat sukar bagi para wartawan untuk membuat liputan, khususnya sidang akhbar.

Pada 23 Mei 2016, Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Datuk Rosnani Saub menolak tuntutan RAGM terhadap Malaysiakini dan tiga kakitangan editorialnya.

Penduduk di Bukit Koman di Raub, Pahang mendakwa penggunaan bahan kimia berkaitan sianida untuk mengeluarkan emas di lombong RAGM telah memberi kesan kepada kesihatan mereka.

RAGM mengemukakan saman fitnah selepas Malaysiakini melaporkan mengenai aduan mereka, yang melibatkan tiga laporan berita dan dua video.

Salah satu daripada laporan berita itu adalah mengenai penduduk kampung menyuarakan kebimbangan terhadap kegiatan perlombongan dekat kampung mereka manakala dua lagi adalah sidang akhbar yang diadakan oleh penduduk kampung. Klip video itu adalah dari sidang akhbar tersebut.

Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa portal berita itu berjaya dalam pembelaannya berasaskan 'qualified privilege' - Reynolds privilege - yang memboleh kewartawanan dan reportage yang bertanggungjawab.

Ini telah dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan semalam berikutan rayuan dari syarikat perlombongan emas itu.

Gan berkata sejak penubuhannya pada tahun 1999, Malaysiakini tidak pernah mengelak daripada melaporkan isu-isu kepentingan awam.

"Malaysiakini percaya bahawa media independen adalah penting untuk kemajuan negara. Tanpa media sedemikian, yang berkuasa boleh cenderung bertindak untuk kepentingan segelintir pihak.

"Tindakan sedemikian membawa kepada kerosakan masyarakat. Adalah menjadi tanggungjawab kami sebagai wartawan untuk memberitahu kebenaran kepada yang kuasa dan untuk dipertanggungjawabkan, sama ada mereka pemimpin politik atau pemimin perniagaan.

"Kami telah membiayai operasi kami selama 18 tahun yang lalu tanpa bantuan penyokong yang kaya atau berkuasa. Orang ramai telah menyokong kami sebelum ini dan kami harap mereka akan membantu kami sekali lagi."

Gan berkata jika portal itu berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan, wang yang dikutip akan disimpan dalam Tabung Pembelaan Malaysiakini untuk digunakan bagi berdepan kes mahkamah pada masa depan yang melibatkan Malaysiakini.

Mereka yang ingin menyumbang kepada Tabung Pembelaan Malaysiakini boleh menyumbang ke dalam akaun berikut:

  • Nama akaun: Mkini Dotcom Sdn Bhd
  • Nombor Akaun: 514253516714 (Maybank)
  • Kod Swift: MBBEMYKL
  • Alamat cawangan: Dataran Maybank, Tingkat 1 Menara A, Dataran Maybank, 59000 Kuala Lumpur.

[Baca berita penuh]