Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PROTON pertahan diskaun untuk Persatuan Hokkien
Diterbitkan:  Jan 18, 2018 7:09 PM
Dikemaskini: 11:19 AM

Ketika berdepan kritikan, PROTON mempertahankan dasar itu sebagai amalan biasa yang melibatkan pelanggan jualan korporat dan pembelian pukal dan fleet.

“Buat masa ini PROTON memang menawarkan polisi diskaun istimewa untuk pelanggan jualan korporat dan fleet.

“Ini merupakan satu amalan biasa dalam perniagaan industri automotif dengan penawaran diskaun jualan korporat berdasarkan pembelian pukal dan fleet,” kata PROTON.

Justeru itu, kata PROTON, tawaran diskaun kepada anggota persekutuan itu bukanlah kes yang istimewa".

Nanyang Siang Pau hari ini melaporkan anggota Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia layak mendapat potongan harga sehingga 10 peratus bagi semua model kereta PROTON.

Langkah itu dibidas keras NGO Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sebagai rasis. MIC pula berkata langkah itu seolah-olah bermain “permainan kasta dan suku” serta satu diskriminasi.

Dalam kenyataan petang ini, syarikat kereta yang hampir separuh sahamnya dimiliki firma China Geely itu, berkata PROTON mempunyai pengaturan serupa dengan pelbagai koperasi, persatuan dan organisasi korporat ternama di Malaysia.

“Termasuk juga Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia yang telah berhubung dengan pihak PROTON untuk berbincang serta menyatakan sokongan kepada PROTON dengan komitmen untuk membeli.

“Berdasarkan kepada bilangan ahli persatuan dan pekerja-pekerjanya yang ramai, pihak PROTON dapat membentuk pakej khas yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak,” kata PROTON.

PROTON berkata, pertubuhan dan persatuan yang membeli jumlah kereta tertentu juga berhak menikmati tawaran seperti ini, tertakluk kepada terma dan syarat.

“PROTON sangat menghargai sokongan daripada syarikat-syarikat dan persatuan-persatuan; dan berusaha untuk menyediakan perkhidmatan dan kualiti terbaik kepada semua pelanggan kami.

“PROTON terharu dengan minat yang ditunjukkan kepada PROTON dan kami menjemput mana-mana persatuan atau syarikat yang bercadang untuk menikmati peluang yang sama untuk berhubung dengan PROTON,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS