Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man mengambil sikap enggan mengulas teguran diberikan Pengerusi Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Datuk Zahidi Zainul Abidin berkaitan isu ketum di negeri itu.

Menerusi wawancara Malaysiakini bersama Zahidi, beliau menyifatkan Azlan sebagai "kurang cerdik" kerana menolak bulat-bulat cadangan penanaman ketum untuk tujuan eksport.

Zahidi berkata cadangan Risda itu berdasarkan kajian pakar, khususnya Pusat Dadah dan Ubat-ubatan (CDR), Universiti Sains Malaysia (USM) yang menelan belanja jutaan ringgit.

Menurut Zahidi, Pada 4 dan 5 Disember tahun lalu, CDR menganjurkan seminar yang melibatkan pembentangan pakar seperti Prof Mahsufi Manshor, Dr Darshan Singh dan Prof Madya Zurina Hassan berjudul “Bukti saintifik mengenai penggunaan ketum di Malaysia”.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Farmasi USM Prof Dr Sharif Mahsufi Mansor misalnya dipetik sebagai berkata tanaman ketum berpotensi menggantikan methadon yang digunakan dalam mengubati masalah ketagihan dadah terutama selepas penagih berusaha melawan masalahnya.

“Macam menteri besar Perlis, dia tak rujuk pakar-pakar... ini adalah pemimpin politik yang kurang cerdiklah,” kata Zahidi.

Ketika dihubungi Azlan tidak memberikan apa-apa komen.

Ketum bawah Akta Dadah Berbahaya

Sebaliknya melalui mesej WhatsApp anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Pauh itu sekadar menghantar tangkap layar (screenshot) satu laporan berita.

Ia memaparkan kenyataan Menteri Dalam Negeri merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Look at the above (Tengok di atas)," katanya kepada Malaysiakini.

Berdasarkan laporan itu Ahmad Zahid berkata Risda perlu menghentikan polemik penanaman dan pengedaran daun ketum.

Katanya, hasil sesi taklimat dengan pakar Kementerian Kesihatan dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman mendapati ia ketum mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

Justeru kerajaan memutuskan pokok ketum dilarang untuk ditanam dan daun ketum diedar atau dieksport.

Zahid bagaimanapun tidak menolak bahawa penggunaan daun ketum untuk tujuan kajian saintifik dan perubatan masih boleh dilakukan terutamanya oleh Institut Kajian Perubatan (IMR).

Untuk rekod Zahidi ialah anggota parlimen Padang Besar merangkap ketua bahagian Umno di situ.

DUN Pauh pula berada di bawah kawasan parlimen Arau yang kini diwakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Baru-baru ini agensi berita tempatan melaporkan Azlan bertegas menolak cadangan penanaman ketum atas alasan untuk mengelakkan masalah sosial akibat penyalahgunaan bahan itu.

Azlan juga berkata akan berusaha supaya ketum yang diletakkan bawah Akta Racun 1952 ditukar kepada Akta Dadah Berbahaya 1952.

Lihat Komen
ADS