Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bank Negara nafi panggil JMM
Diterbitkan:  Jan 30, 2018 12:32 PM
Dikemaskini: 4:42 AM

Bank Negara menafikan pernah meminta pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menyerahkan dokumen berkaitan dana portal berita The Malaysian Insight (TMI).

Dalam kenyataannya hari ini bank pusat terbabit juga menggunakan tanda pagar (hashtag) berita palsu bagi mengiringi kenyataan di Twitter berkenaan.

Bank Negara juga memetik tiga nama akaun portal berita arus perdana yang menyiarkan laporan berkenaan semalam.

"BNM tidak pernah memanggil JMM untuk menyerahkan dokumen berhubung dakwaan sebuah portal berita tempatan. #beritapalsu @UMonline @bharianmy @NewStraitsTimes," kata badan itu hari ini.

Semalam BH Online melaporkan JMM mendakwa mereka menyerahkan dokumen sokongan kepada Bank Negara bagi membantu siasatan kemasukan wang hampir RM3 juta ke dalam akaun syarikat Inside Media Sdn Bhd.

Syarikat itu adalah pemilik portal TMI.

Memetik kenyataan Datuk Azwanddin Hamzah, BH Online melaporkan presiden JMM itu mendakwa pertubuhan berkenaan "dipanggil secara rasmi" untuk membuat penyerahan berkenaan.

 

 

Selain transaksi kewangan tunai yang didakwanya tidak konsisten, maklumat mengenai seorang ahli lembaga pengarah syarikat terbabit turut diserahkan kepada Bank Negara.

Menurut Azwanddin, dokumen yang diserahkan kepada Bank Negara itu setebal 12 halaman.

JMM enggan ulas

Nama TMI muncul semasa Persidangan Agung Tahunan Umno pada Dis tahun lalu.

Malaysiakini melaporkan wakil Pulau Pinang Mohd Nashrol Hisham Abdullah meminta pihak berkuasa menyiasat portal berita itu "sehingga ke lubang cacing" apabila ia didakwa giat menyerang Umno, terutama presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

Memetik dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohd Nashrol berkata TMI dimiliki Puan Sri Faridah Begum K A Abdul Kader yang juga isteri Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

"Kami perwakilan mahu pihak berwajib siasat siapa Faridah Begum ni.

"Malaysian Insight (TMI) yang menyerang pemimpin kita, perdana menteri kita, presiden kita.

"Pihak berwajib jangan biarkan ini berlaku. Cari sampai lubang cacing," katanya semasa membahaskan usul pendidikan dan agama.

Sementara itu ketika dihubungi Malaysiakini, Azwanddin enggan memberi sebarang komen berhubung kenyataan Bank Negara itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS