Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Puad: Siti Hasmah ikut undang-undang, Tun?
Diterbitkan:  Jan 30, 2018 5:25 PM
Dikemaskini: 9:47 AM

Seorang pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) menyanggah dengan berani Tun Dr Mahathir Mohamad selepas bekas perdana menteri itu mendakwa kerajaan mengetepikan undang-undang apabila mengambil keterangan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, apabila Dr Siti Hasmah hadir dan berucap dalam perhimpunan tanpa kebenaran polis, apakah itu boleh dianggap mengikut undang-undang.

Tambahan pula, kata ketua pengarah JASA itu, kawasan tempat berlangsung himpunan membantah "politik toksik" pada 10 Sept 2017 - antara kawasan Maju Junction hingga ke pusat beli-belah Sogo - tidak diwartakan sebagai tempat perhimpunan aman.

"Maka apabila Tun Hasmah dipanggil untuk diambil keterangan kerana ada laporan polis, itu namanya ikut undang undang.

"Lagipun soal siasat itu berlangsung di Pejabat Tun Mahathir. Siap dengan kehadiran peguamnya sekali," kata bekas anggota parlimen Batu Pahat itu hari ini.

Pada 26 Jan lalu Malaysiakini melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil keterangan daripada isteri Dr Mahathir itu ekoran pembabitan beliau dalam himpunan Wanita Bantah Politik Toksik.

Dr Siti Hasmah, 91, tiba di bangunan Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur kira-kira pukul 9 pagi, diiringi suami serta anak mereka, Datuk Marina.

Dua anggota polis dari Bukit Aman kemudiannya tiba pada jam 11.40 pagi dan menghabiskan lebih satu jam menyoal Dr Siti Hasmah.

Peguamnya, Hanif Khatri Abdulla memberitahu pemberita bahawa kes itu disiasat mengikut Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman.

Jamal pun kena gari

Pada 28 Jan, PDRM menjelaskan polis bukan menyoal siasat Dr Siti Hasmah, sebaliknya sekadar mengambil keterangan beliau.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd juga mengingatkan semua pihak supaya tidak cuba memanipulasi keadaan itu.

Mengulas perkembangan berkenaan Dr Mahathir berkata tidak ada beza antara mengambil kenyataan atau menyoal siasat.

"Ambil statement, interrogation, soal jawab, sama sajalah. Apabila polis datang kita taula hati berdebar-debar.

"Saya tidak tau tujuan adalah untuk menakutkan isteri saya, menakutkan saya juga, kalau didapati bersalah akan mendatang hukum yang berat kepada kami.

"Inilah keadaan sekarang di negara kita. Undang-undang ditepikan dan disalahgunakan," katanya.

Kata Puad proses mengambil keterangan daripada Dr Siti Hasmah itu juga diadakan di pejabat Dr Mahathir.

Beliau turut merujuk kepada siasatan dilakukan polis ke atas Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos yang memang terkenal dengan pelbagai gimiknya.

"Datuk Jamal Sungai Besar pun disiasat kerana buat piket di depan pejabat Azmin Ali. Siap dilokap, digari dan pakai baju lokap lagi. Apa ada masalah," katanya.

Mengenai kedudukan Dr Siti Hasmah yang digugurkan daripada jawatan sebagai penaung Persatuan Tenis Kerusi Roda yang dianggap bermotif politik, Puad berkata, adakah ia patut dijadikan isu.

"Bagaimana dengan pemecatan Ketua Hakim Negara (Tun Salleh Abbas), pemecatan lima hakim mahkamah tinggi, pemecatan menteri-menteri kabinet yang sokong Team B termasuk Pak Lah. Dan bagaiman pula dengan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim?" katanya lagi.

Lihat Komen
ADS