Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Takdir Husam dan Wan Rahim untungkan PAS, Umno
Diterbitkan:  Feb 7, 2018 4:40 PM
Dikemaskini: 3:13 PM

Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Pakatan Harapan (HARAPAN) didakwa kini kehilangan calon menteri besar Kelantan dengan perkembangan terbaru melibatkan dua tokoh penting pembangkang di negeri itu.

Pada masa sama pemerhati politik Dr Awang Azman Awang Pawi berkata keadaan itu memberi kelebihan kepada PAS serta Umno Kelantan.

Ahli akademik Universiti Malaya (UM) itu memberitahu tindakan istana menarik balik darjah kebesaran itu menjejaskan imej Husam Musa dan Wan Abd Rahim Wan Abdullah.

Pada masa sama langkah itu juga kata Awang Azman lazimnya menunjukkan kemurakaan pihak istana kepada individu yang pernah dianugerahkan pingat kebesaran.

Justeru katanya AMANAH terkesan dari segi populariti serta kewibaan mereka untuk mencabar kerajaan negeri pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti.


Baca: PAS perlu tanya berapa kerusi Umno nak beri


"PAS dan Umno boleh menggunakan penarikan balik darjah kebesaran dari istana itu sebagai kempen politik (dengan menggambarkan) seolah-olah tindak tanduk politik Husam dan Wan Abd Rahim tidak direstui pihak Istana," katanya kepada Malaysiakini.

Hari ini Malaysiakini melaporkan pihak istana Kelantan mengarahkan dua bekas pemimpin kanan PAS itu memulangkan darjah kebesaran masing-masing.

Dalam kenyataannya Husam berkata arahan itu terkandung dalam surat daripada setiausaha kerajaan negeri yang bertarikh semalam.

Tak boleh berharap

Difahamkan arahan penarikan balik itu berkuat kuasa serta-merta.

Husam dan Wan Abd Rahim menerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) yang membawa gelaran Datuk masing-masing pada 2006 dan 2004.

Ketika diberi DJMK itu Husam menjadi exco Kelantan manakala Wan Abd Rahim speaker dewan undangan negeri (DUN).

Kedua-dua mereka adalah tokoh yang dekat dengan bekas menteri besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Antara lain Husam dan Wan Abd Rahim pernah diberi kepercayaan oleh Nik Abdul Aziz menjadi setiausaha politiknya.

Selepas menyertai AMANAH Wan Abd Rahim dilantik menjadi pengerusi parti itu untuk Kelantan, manakala Husam sebagai naib presiden.

Awang Azman berkata dengan tindakan pihak istana semalam Husam dan Wan Abd Rahim kini berdepan kesukaran untuk memberi justifikasi kepada langkah politik mereka kepada orang ramai.

"Sudah pasti sebahagian penyokong AMANAH akan berasa was-was terhadap kepimpinan Husam dan Wan Abd Rahim," katanya.

Pensyarah di Jabatan Sosiobudaya UM itu juga menjangkakan jumlah sokongan AMANAH akan jatuh merosot.

"Inilah yang merugikan HARAPAN. Maka HARAPAN tidak boleh berharap banyak kepada AMANAH di Kelantan," katanya.

Lihat Komen
ADS