Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar mendakwa golongan belia di negeri itu kini semakin terabai ekoran kekalahan BN sejak dua penggal lalu sehingga menjadikan golongan belia di negeri itu sebagai pelarian.

Ini kerana, menurut Noh, segala kemudahan kepada golongan belia di Selangor ditarik balik oleh kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan mengakibatkan golongan belia terpaksa merempat mencari tempat menjalankan aktiviti riadah mereka.

“Di Selangor BN dah hilang kuasa dan kesannya kepada siapa?

“Saya nak beritahu kepada saudara dan saudari kesannya kepada belia-belia di negeri Selangor.

“Yang pertama kerajaan Selangor tak akan iktiraf Hari Belia Negara, kita jadi pelarian di negeri Selangor, kerana apa?

“Kerana HARAPAN tidak akan menyokong pertubuhan Belia 4B termasuklah Majlis Belia Selangor yang terus dijadikan anak tiri dan pelarian di negeri Selangor ini.

"Kita juga telah perjuangkan dan akhirnya tertubuhlah Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor (KBKNS) tapi malangnya apabila kita hilang kuasa kompleks terbabit dirampas dan menjadikan Majlis Belia pelarian di negeri sendiri,” katanya.

Noh berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Hari Gerakan Belia 4B Malaysia dan Karnival Sukan Muhibah 2018 di Homestay Banghuris di Kampung Ulu Chucoh, Selangor hari ini.

Menurut Noh, perkara sama jaga berlaku kepada skuad bola sepak Selangor apabila terpaksa melupakan niat untuk menggunakan Stadium Shah Alam sebagai stadium rasmi untuk pasukan Selangor dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

“Kita juga perjuangkan Stadium Shah Alam untuk memberi tempat kepada pasukan The Red Giants yang hebat dan terkenal bagi membangunkan semangat kesukanan di kalangan belia di negeri Selangor.

“Sekali lagi pasukan The Red Giants yang sepatutnya tempatnya di Stadium Shah Alam hari ini menjadi pelarian di negeri sendiri,” kata Noh.

Kembalikan Stadium Shah Alam

Penyokong Red Giants sebelum ini menuntut kerajaan negeri Selangor mengetepikan perselisihan dengan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) termasuk berkenaan isu permohonan menjadikan Stadium Shah Alam sebagai stadium rasmi pasukan Selangor dalam saingan Liga Malaysia.

Bagaimanapun Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan Kebudayaan dan Pembangunan Keusahawanan, Amirudin Shari berkata pihaknya kini dalam proses perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bagi menyelesaikan isu berkenaan. 

Berkenaan isu KBKNS pula, Amirudin sebelum ini menegaskan kompleks itu digunakan sepenuhnya bagi tujuan pembangunan sukan dan belia, selain menempatkan pejabat pengurusan, serta Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

Amirudin turut mengaskan bahawa perkara itu telah dijelaskan dalam sesi penggulungan di parlimen sebelum ini.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapannya di program sama turut mengulangi gesaan agar Stadium Shah Alam diserahkan kembali kepada FAS.

“Syor Shah Alam diserah balik kepada pasukan The Red Giant saya sokong,” katanya.

Sebelum itu, Noh sekali lagi berjanji sekiranya BN merampas Selangor, beliau akan memastikan Stadium Shah Alam menjadi staiudm rasmi pasukan Selangor.

“Hari ini kita menang, esok kita pulangkan stadium Shah Alam untuk pasukan The Red Giant. Ini kita perjuangkan untuk belia terutama di Selangor.

“Sepatutnya pasukan Selangor yang hebat main di Stadium Shah Alam tetapi kita sudah jadi pelarian di negeri sendiri,” katanya.

Noh juga menyeru belia di Selangor menyokong BN demi membangunkan belia di negeri itu.

“Jangan sampai BN hilang kuasa. Kesannya kepada belia.

“Bangkit bersama BN. Peranan perdana menteri bapak pembela kepada belia,” katanya.

Lihat Komen
ADS