Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BERSIH: Mengundi untuk kalahkan penipuan pilihan raya

Menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) hari ini melancarkan kempen terbaru untuk menggesa rakyat Malaysia mengundi sebagai langkah mengalahkan penipuan pilihan raya.

Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah dalam ucapannya berkata kempen itu termasuklah jelajah seluruh negara bagi mendekati pengundi melalui perbincangan santai warung kopi bagi menjelaskan kepentingan mengundi dalam PRU akan datang.

Selepas melalui dua PRU dan empat demonstrasi jalanan, Maria berkata BERSIH kini merupakan gerakan demokratik paling besar dalam negara dan beliau yakin BERSIH mampu mengekalkan momentum bagi memastikan perubahan dalam institusi.

"Kita boleh buat sekali lagi dan kita mesti satukan semua tenaga," katanya merujuk slogan kempen itu 'Satukan Kuasa, Kalahkan Penipuan'.

Ketika pelancaran yang diadakan di Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Timbalan Pengerusi Jawtaankuasa Pemandu BERSIH Shahrul Aman Mohd Saari memanggil personaliti radio Patrick Teoh bagi menunjukkan bagaimana kempen itu akan dilakukan.

Teoh, yang berikrar memberi sokongan kepada kempen itu, turut mengulas berhubung gerakan #UndiRosak yang menyeru pengundi merosakkan undi.

"Meskipun mereka menggesa pengundi merosakkan undi, apa yang penggerak kempen ini tidak katakan adalah apa yang akan jadi kepada Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang?

"Bolehkah kita bayangkan apa akan jadi?" soalnya.

Selain daripada kempen meggalakkan mengundi, Maria berkata BERSIH juga akan terus membuat bantahan terhadap persempadanan semula yang sedang dilakukan di Selangor dan terus melatih lebih ramai pemerhati pilihan raya.

BERSIH turut menayangkan animasi pendek bertajuk "Jom Undi" sebagai salah satu pengisian programnya.

Turut hadir dalam majlis itu adalah pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN), termasuk Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden PKR Tian Chua, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu dan Ketua Wanita AMANAH Dr Siti Mariah Mahmud.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS