Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zunar dapat kebenaran cabar pengharaman 'Sapuman'

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan semakan kehakiman yang difailkan kartunis Zunar untuk mencabar pengharaman bukunya yang berjudul 'Sapuman: Man of Steal'.

Peguam N Surendran berkata, kebenaran diberikan selepas tiada bantahan daripada Pejabat Peguam Negara.

"Justeru mahkamah memberi kebenaran kepada Zunar untuk meneruskan semakan kehakiman terhadap pengharaman bukunya," katanya ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, hari ini.

Zunar, atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque, memfailkan semakan kehakiman itu pada 2 Januari lalu dan menamakan Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Selain mengenepikan pewartaan haram, Zunar juga memohon mahkamah agar mengisytiharkan pengharaman itu sebagai tidak sah, salah, dan tidak memiliki kuasa perundangan kerana ia ultra vires dengan Seksyen 7 Akta Penerbitan dan Mecin Cetak 1984 (PPPA) serta melanggar Perkara 5 (Kebebasan Individu) dan Perkara 8 (hak kesamarataan) dan Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan untuk kebebasan bersuara.

Buku tersebut diisytiharkan haram berkuatkuasa 3 Oktober tahun lalu.

Surendran berkata, asas kepada permohonan mereka ada keputusan pengharaman buku tersebut adalah tidak wajar dan bertentangan dengan perlembagaan.

Hakim Datin Azizah Nawawi menetapkan 27 Februari ini untuk pengurusan kes.

Lihat Komen
ADS