Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
'Kerajaan tak boleh diharap bela Palestin'
Diterbitkan:  Feb 15, 2018 9:18 PM
Dikemaskini: 1:45 PM

PAS menzahirkan rasa terkejutnya berhubung isu diplomat Israel dibenarkan memasuki Malaysia untuk hadir World Urban Forum (WUF) di Kuala Lumpur hujung minggu lepas, kata Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Di saat umat Islam masih dalam kemarahan terhadap apa yang berlaku di Palestin, umat Islam terkejut bila mendapat tahu diplomat Israel telab dibenarkan memasuki Malaysia.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu tampil ke depan menjelaskan apakah Malaysia mempunyai hubungan rasmi dengan musuh Islam dan masyarakat antarabangsa itu secara tertutup?" Soal Tuan Ibrahim dalam hantaran terbaru di Facebook beliau malam ini.

Untuk kali pertama sekumpulan diplomat Israel tiba secara rasmi di negara ini ketika Putrajaya dan Tel Aviv tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik.

Kementerian Luar Israel mengesahkan kunjungan diplomat terbabit baru-baru ini, lapor The Times of Israel dua hari yang lalu.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim turut mempersoalkan mengapa Wisma Putra membenarkan kemasukan diplomat Israel terbabit.

"Tindakan kerajaan menganjurkan Himpunan Solidariti Al Aqsa di Putrajaya baru-baru ini telah berjaya meningkatkan kesedaran perlunya nasib umat Islam dibela.

"Namun di satu sisi lain kerajaan perlu istiqamah dengan pendirian tersebut," kata Tuan Ibrahim.

Menurut beliau lagi, hal ini memperlihatkan kerajaan bersikap seperti talam dua muka dalam membela nasib umat Islam di Palestin.

"Sikap double standard ini memperlihatkan kerajaan tidak serius membela nasib umat Islam di Palestin, khasnya Baitul Maqdis yang telah diisytihar oleh presiden Amerika sebagai ibu negara haram Israel.

"Insiden ini membuktikan kerajaan BN tidak serius dan tidak boleh diharap bagi membela nasib Baitul Maqdis yang menjadi kiblat pertama umat Islam," kata beliau lagi.

Berdasarkan laporan The Jurusalem Post semalam, para diplomat Israel berkata mereka terpaksa menggunakan 'tekanan diplomatik secara terperinci' untuk hadir menyertai sidang Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN-HABITAT) di Kuala Lumpur.

David Roet memberitahu akhbar Israel  itu, delegasi negara itu ke PBB dan kedutaan di Nairobi, tempat ibu pejabat UN-HABITAT bersungguh-sungguh memperjuangkan kehadiran tersebut.

Manakala itu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman pula menafikan Malaysia mengundang diplomat Israel terbabit ke Forum Bandar Sedunia Kesembilan (WUF9) yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebaliknya, menurut Anifah, penyertaan delegasi Israel adalah berdasarkan jemputan dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui agensinya iaitu Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat) yang merupakan penganjur forum berkenaan.

Justeru, Anifah menegaskan, surat jemputan untuk delegasi Israel itu tidak ditandatangani mana-mana pegawai Malaysia, sebaliknya oleh pengarah eksekutif UN-Habitat.

 


 

Lihat Komen
ADS