Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sekatan Orang Asli Kelantan halang projek 'Musang King'

Masyarakat Orang Asli membina sekatan baharu di tiga lokasi di kawasan Hutan Simpan Gunung Stong Selatan di Gua Musang pada Khamis lalu, sebagai bantahan terhadap aktiviti penerokaan hutan serta tanah adat mereka bagi tujuan pembalakan, projek perladangan dan penanaman durian 'Musang King' di kawasan itu.

Sekatan tersebut dibina di Chawas, Gua Cha and Pos Gob di hutan simpan tersebut.

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Azmi Badul menuntut kerajaan Kelantan segera menghentikan kegiatan pembalakan serta pembukaan kawasan perladangan berskala besar.

Malah tegas Azmi, kerajaan negeri juga dituntut agar patuh kepada keputusan Mahkamah Majistret Gua Musang, sebelum ini.

“Kami menuntut agar kerajaan menghentikan kegiatan pembalakan dan pembukaan perladangan berskala besar dan dalam masa yang sama kami mahu kerajaan patuh kepada keputusan mahkamah terhadap kes Kg Dakoh Pos Balar yang menang baru-baru ini kerana kami juga mempunyai hak yang ternyata dalam keputusan Mahkamah Majistret Gua Musang,” katanya.

Menurut Azmi (gambar), kemusnahan dan pengambilan tanah adat mereka kini semakin berleluasa sekali gus menafikan hak Orang Asli di kawasan terbabit.

“Sebabnya, kemusnahan dan pengambilan tanah adat nenek moyang secara berskala besar, kemusnahan hutan yang berleluasa akibat aktiviti pembalakan yang tak terkawal, kepupusan hasil herba atau sumber untuk kegunaan tradisi semakin kritikal serta kemusnahan sungai dan tandak air yang tidak mengira kepentingan komuniti setempat.

“Kami bukan datang dari mana dan kami tidak pergi ke mana. Kami adalah Orang Asli yang wujud di bumi Kelantan dan Malaysia sejak dari nenek moyang kami.

“Kami akan pertahan sedaya yang mungkin,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sementara itu, seorang lagi pemimpin JKOAK, Mustafa Along (gambar, tengah) berkata sekatan itu dibuat sebagai bantahan kepada kerajaan Kelantan yang sejak kebelakangan ini banyak mengeluarkan lesen pembalakan, terutama di Chawas.

Mustafa memberitahu Malaysiakini, masyarakat Orang Asli tiada pilihan lain kecuali mendirikan sekatan itu.

Beliau berkata berlaku aktiviti pembalakan dan penanaman getah secara meluas di Chawas, sementara di Tohoi pula penanaman pokok durian Musang King serta penebangan hutan untuk balak.

Menurut beliau lagi, di Kuala Wok, syarikat-syarikat menjalankan pembalakan, penanaman pokok kelapa sawit dan perlombongan emas.

Semalam, sekatan yang dibina Orang Asli di kawasan Chawas bagi menghalang kegiatan pembalakan Hutan Simpan Gunung Stong Selatan di Gua Musang, Kelantan telah dirobohkan.

Bagaimanapun, Mustafa berkata masyarakat Orang Asli telah membina semula sekatan yang dimusnahkan itu.

Menurut Mustafa lagi, pihaknya tidak dapat memastikan siapa yang merobohkan sekatan di Chawas semalam kerana ia berlaku ketika mereka meninggalkan seketika kawasan terbabit untuk makan tengahari.

“Tengahari semalam selepas pulang untuk makan tengahari kami dapati sekatan yang kami bina telah di rosakkan.

“Kami tak tahu siapa yang merosakkannya, sama ada Jabatan Hutan atau pembalak sendiri. Tapi hari ini kami hanya didatangi oleh empat pegawai dari Jabatan Hutan bagi mengambil gambar dan laporan yang katanya untuk diserahkan kepada pegawai atasan mereka,” kata Mustapa lagi.

Mahkamah Majistret Gua Musang pada Januari 2017 membatalkan permohonan sebuah syarikat pembalakan untuk meruntuhkan sekatan yang didirikan Orang Asli bagi menghalang pembalakan di kawasan penempatan mereka.

Peguam Siti Kasim yang mewakili masyarakat Orang Asli itu berkata mahkamah memutuskan bahawa mereka mempunyai hak untuk menduduki tanah berkenaan.

Isu sekatan Orang Asli bermula beberapa tahun lalu dan kemuncaknya pada tahun 2016 apabila enam sekatan dibina di Hutan Simpan Balah di Gua Musang.
 

Lihat Komen
ADS