Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Meskipun tiada negara yang boleh mendesak Malaysia mengiktiraf Israel dan tiada tekanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang boleh dikenakan ke atas Malaysia berhubung perkara ini, pihak berkuasa perlu membenarkan sebarang wakil negara anggota PBB ke dalam negara ketika ia menanjurkan majlis berkaitan PBB, kata bekas diplomat.

"Tiada sebarang tekanan dapat dikenakan kepada kita untuk bersetuju kecuali jika kita menganjurkan majlis antarabangsa yang tidak membenarkan diskriminasi. 

"Jika anda mahu menganjurkan sukan Olimpik, anda tidak boleh menghalang sesebuah negara daripada ikut serta kerana ia suatu majlis yang anda tidak boleh tunjukkan sebarang diskriminasi," bekas presiden Perhimpunan Agung PBB Tan Sri Razali Ismail (gambar) memberitahu Malaysiakini.

Bekas duta Israel ke PBB, David Roet dipetik laporan sebagai berkata terpaksa menggunakan 'tekanan diplomatik secara terperinci' untuk hadir menyertai sidang Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN-HABITAT) di Kuala Lumpur.

Berdasarkan laporan The Jurusalem Post, para diplomat Israel membawa perkara ini ke pejabat Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) António Guterres.

Manakala itu, Razali berkata beliau gembira Malaysia membuat pengubahsuaian bagi membenarkan kemasukan delegasi Israel ke negara ini sambil mengingatkan untuk tidak berfikiran sempit dalam isu tersebut.

"Pokoknya kamu jangan benci rakyatnya. Kamu boleh benci (Perdana Menteri Israel Benjamin) Netanyahu, kamu boleh benci rejim pemerintahannya tetapi tiada negara yang patut membenci rakyat negara lain.

PBB boleh batal sidang

"Orang-orang ini terdiri daripada arkitek, jurutera mereka tiada kaitan dengan politik. Kita mesti hormat profesionalisme mereka," tambah Razali.

Bekas duta Malaysia ke Chile dan Argentina Datuk Dennis Ignatius pula berkata jika Malaysia enggan membenarkan kemasukan diplomat Israel itu, PBB akan menuntut Malaysia memenuhi syarat penganjuran sidang PBB.

"Jika Malaysia enggan, PBB boleh batal sidang tersebut.

"Israel juga boleh tekan Amerika Syarikat untuk tekan Malaysia agar patuh peraturan antarabangsa berkaitan persidangan PBB," katanya.

Bekas duta Malaysia ke Belanda merangkap pemimpin NGO G25 Datuk Noor Farida Ariffin (gambar) pula berpandangan pihak pembangkang perlu berhati-hati dalam menyuarakan isu ini.

"Parti-parti pembangkang tidak patut menjadikan hal ini sebagai isu hanya untuk mendapat sokongan politik.

"Mereka juga perlu ingat jika mereka membentuk kerajaan mereka juga termaktub di bawah peraturan PBB yang sama berkaitan penyertaan Israel dalam majlis antara bangsa anjuran Malaysia," kata beliau.

Manakala itu bekas duta Malaysia ke Uzbekistan Datuk Redzuan Khushairi mempersoalkan 'kerahsiaan' isu diplomat Israel itu ditangani.

"Kenapa kita perlu sembunyi atau kelihatan bersembunyi? Jadi telus dan bertanggungjawab.

"Mereka (kerajaan) mesti risau dengan parti pembangkang dan NGO Melayu Islam. Tetapi ini zaman Internet dan media sosial, mereka lebih tahu, cuba menyembunyikan sesuatu akan menyebabkan mereka dilihat teruk," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS