Wan Saiful - Dari CEO badan pemikir menjadi ahli politik
WAWANCARA l Anda mungkin tidak akan terserempak lagi dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan di pusat beli-belah elit Bangsar Shopping Centre, tempatnya mengadakan pertemuan dengan tokoh korporat, penjawat awam peringkat tinggi dan ahli politik.
Dengan penyertaannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), beliau kini secara rasminya bergelar "graduan menganggur" - seperti yang diungkapkannya sendiri.
"Daripada seorang yang mengetuai organisasi dengan kedudukan CEO dan hidup selesa, saya kini sebahagian daripada statistik graduan menganggur. Ini langkah yang agak besar," kata Wan Saiful dalam wawancara bersama Malaysiakini.
Beliau berharap tokoh-tokoh lain dapat melihat risiko besar yang diambilnya itu dan kemudian terpanggil untuk mengikut jejak langkahnya.
"Bilakah anda akan mengorak langkah yang sama? Saya membuat pertaruhan besar; saya meninggalkan organisasi yang saya tubuhkan.
"Jika orang seperti saya boleh melakukannya, apakah alasan mereka yang berpendapatan enam angka?"
Walaupun sebelum ini sering memberikan analisis berkaitan politik negara, Wan Saiful, 43, mengakui dirinya masih 'hijau' dalam politik kepartian.
"Saya perlu belajar selok-beloknya, ramai lagi ahli politik yang berpengalaman. Saya perlu cepat belajar untuk menyesuaikan diri dengan suasana kerja baru. Ia sebenarnya sama seperti bertukar tempat kerja.
"Saya perlu belajar tentang organisasi, bagaimana ia berfungsi," katanya.
Dunia lebih besar
Dan beliau bukan sekadar berkata-kata. Bagi membuktikan kesungguhannya, Wan Saiful telah menghubungi beberapa ahli politik dan bertanya bilakah mereka akan membuat 'walkabout'.
"Saya perlu belajar kemahiran baru, misalnya mengadakan 'walkabout' di pasar malam. Biasanya saya ke sana untuk membeli barang, bukan sebagai ahli politik.
"Sukar untuk menjelaskan peralihan ini, tetapi ia pengalaman yang banyak mengajar. Antaranya anda mungkin merasakan tahu bagaimana untuk menambahbaik sistem perundangan di Malaysia, tapi pada hakikatnya ia sebahagian kecil saja.
"Bahagian yang besar adalah turun padang, meyakinkan orang ramai dengan agenda anda. Inilah yang ahli politik lakukan. Peralihan ini membuatkan saya sedar ada dunia yang lebih besar di luar sana."
Katanya, meyakinkan masyarakat tentang betapa pentingnya melakukan perubahan untuk negara menjadi lebih sukar apabila masih ramai yang terperangkap dengan masa lalu.
"Sebaik sahaja berita saya menyertai BERSATU tersebar, reaksi segera adalah saya menyertai parti Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Itu perlu diubah. Ramai yang terlalu bertumpu kepada tokoh, tentang apa yang telah disumbangnya.
"Kita perlu mengalih wacana kepada bagaimana kita menyelamatkan negara di masa depan, masa depan apa yang diinginkan, dan bagaimana menggerakkan negara ke arah itu apabila anda sedar ia kini bergerak ke arah yang salah.
"Ia agak sukar dan saya tiada jawapan. Saya masih belajar bagaimana untuk menyampaikan mesej ini," katanya.
Berdekad bawah Umno
Justeru bapa kepada lima anak itu bersyukur keluarganya menyokong penuh keputusannya terjun ke dunia politik.
"Isteri saya memberi sokongan tetapi anak-anak nampaknya lebih teruja.
"Titik tolak untuk saya menimbangkan langkah ini secara serius adalah ketika saya berbincang dengan isteri, dan dia berkata 'jangan terlalu pentingkan diri'."
Ketika ditanya sama ada isterinya khuatir dengan keputusannya menyertai pembangkang, Wan Saiful berkata isterinya kini menjadi punca pendapatan tunggal buat keluarga.
"Saya perlu berkata yang baik-baik tentang dia, nanti tak dapat wang saku," katanya berseloroh.
Kembali serius, beliau mengakui kebimbangan memang ada.
"Tetapi ia secara sendirinya menunjukkan betapa teruknya keadaan di negara ini. Mengapa terlalu sukar untuk seseorang itu menggunakan hak demokratik mereka?
"Berdekad bawah Umno, kita telah melahirkan masyarakat yang mempunyai tanggapan jika anda menjadi pembangkang, anda akan mangsa. Anda akan dimangsakan dan didiskriminasi jika bersama-sama pembangkang.
"Saya tahu betapa rosaknya masyarakat kita akibat pemerintahan Umno selama berdekad. Mereka memang mendiskriminasi pihak yang menentang mereka," katanya.
Wan Saiful sendiri tidak pasti apakah peranan khusus yang bakal dimainkannya dalam parti, namun Ketua Biro Strategi dan Dasar BERSATU Datuk Rais Husin berkata beliau mungkin akan dimasukkan ke dalam majlis pimpinan tertinggi parti.
"Kekuatannya adalah pada dasar dan strategi. Tentunya beliau juga akan membantu kita di Biro Strategi dan Dasar. Kami tak akan berikannya masa untuk berehat," seloroh Rais yang turut bersama ketika wawancara.

