Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bayaran RM3 juta: Jumpa di mahkamah, kata Lim pada Azeez

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak akan memohon maaf kepada Datuk Seri Abdul Azeez berhubung isu dakwaan Anggota Parlimen Baling itu menerima bayaran RM3 juta daripada Konsortium Zenith Construction dalam projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Beliau sebaliknya sedia berdepan tindakan saman daripada Abdul Azeez.

"Azeez, tolonglah. Kami akan lawan saman tersebut," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Terdahulu, Abdul Azeez memberi Lim tempoh sehingga minggu depan untuk menarik balik kenyataan dan membuat permohonan maaf secara terbuka di media kerana mengaitkannya dengan dakwaan tersebut.

Beliau berkata telah mengarahkan peguam menghantar surat tuntutan ke pejabat Lim dan rumahnya di Pulau Pinang, semalam.

Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata belum menerima surat itu kerana berada di Kuala Lumpur bagi mengikuti sidang Dewan Rakyat yang bermula semalam.

"Saya belum balik ke Pulau Pinang, saya kena semak dulu," katanya lagi.

Pada 28 Februari lalu, Lim mempersoalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak menahan Abdul Azeez walaupun terpalit dakwaan menerima RM3 juta daripada Zenith sebagai bayaran rundingan untuk projek terowong dasar laut di negeri itu.

Isu ini bermula apabila Zenith menghantar surat tuntutan kepada Abdul Azeez kerana didakwa gagal memberi khidmat rundingan untuk "memastikan kepentingan konsortium" dalam projek itu, walaupun telah menerima bayaran tersebut.

Abdul Azeez menafikan dakwaan itu dan membuat laporan polis. Beliau kemudian memaklumkan Zenith telah menarik balik surat tuntutan itu.

Lim sebelum ini berulang kali menegaskan projek tersebut "bersih" dan diserahkan kepada Zenith pada 2013 melalui jawatankuasa tender terbuka, yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Farizan Darus.

Lihat Komen
ADS