Husam Musa mengecam tindakan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) melakukan siasatan dalaman berhubung kebocoran dokumen tender projek Skim Bekalan Air Merbau Condong Fasa II.

Menurut naib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu tindakan AKSB itu sepatutnya dikutuk oleh rakyat Kelantan yang cintakan pentadbiran bersih dan amanah.

"Suka saya tegaskan dokumen-dokumen yang sampai kepada saya, termasuk bayaran-bayaran kontrak yang melebihi kadar sebenar, diperoleh melalui sumber-sumber lain.

"Sama sekali bukan daripada pegawai dan kakitangan AKSB yang disyaki menikam perbuatan curang dari dalam itu.

"Jangan aniayai mereka," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Malaysiakini semalam melaporkan, AKSB akan membuat siasatan dalaman terhadap pegawai-pegawai susulan kebocoran dokumen tender seperti didedahkan Husam sebelum ini.

Terdahulu, Husam mendakwa timbul keraguan dalam pelantikan kontraktor projek reka dan bina mekanikal dan eektrikal Fasa II (Pakej 1) Merbau Condong, Machang.

Projek bernilai RM27.1 juta itu didakwa ditawarkan kepada syarikat yang tidak wujud.

AKSB bagaimanapun menafikan perkara itu sebaliknya menjelaskan syarikat berkenaan hanya "menukar nama".

Husam turut mendedahkan memo dalaman yang didakwanya dari AKSB kepada pegawai-pegawainya yang disiasat.

Husam dakwa AKSB berhelah

Sementara itu, Husam berkata, penjelasan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah AKSB, Datuk Hanifa Ahmad semalam sebenarnya hanya mengukuhkan lagi dakwaannya.

"Dakwaan saya bahawa surat tawaran AKSB kepada Cdah Construction Jangka Prestasi JV Sdn Bhd diberikan sebulan setengah lebih awal dari tarikh syarikat usaha sama (JV) itu didaftarkan diperkukuhkan Hanifa melalui sidang media beliau semalam.

"Beliau cuba memberikan helah bagi kejadian itu berlaku iaitu syarikat JV itu dalam proses pendaftaran.

“Syarikat berkenaan telah memohon kebenaran untuk tujuan itu selepas mereka dianugerahkan projek itu.

"Kita akan melihat sama ada alasan ini adalah satu percubaan putar belit dan menutup kesalahan itu atau ia sah dan benar," jelas aanggota dewan undangan negeri (ADUN) Salor itu.